LEBIH 22,000 anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-masing mula menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini apabila proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka.
Data rasmi menunjukkan kawasan Parlimen Port Dickson merekodkan jumlah pengundi awal tertinggi dengan 9,706 orang, diikuti Tampin (4,701), Rembau (2,355), Rasah (2,145), Seremban (1,635), Jelebu (1,175), Jempol (333) dan Kuala Pilah (289).
Port Dickson yang menempatkan beberapa kem tentera muncul sebagai tumpuan utama pengundian awal, dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mencatatkan jumlah pengundi paling ramai, melibatkan 7,021 anggota tentera dan pasangan mereka serta 25 anggota polis bersama pasangan.
Sementara itu, DUN Linggi merekodkan seramai 2,222 anggota tentera dan pasangan, selain 35 anggota polis bersama pasangan yang layak mengundi awal.
Walaupun cuaca mendung dan sesekali terdengar guruh di sekitar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, anggota keselamatan serta pasangan mereka terus hadir secara berterusan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan segala persiapan bagi pengundian awal telah siap sepenuhnya, manakala hari pengundian bagi orang awam ditetapkan pada 1 Ogos.
-BTSMedia.my



