BTS Media

Galeri Nordin Ahmad bakal diperkasa dengan sokongan antara kementerian

USAHA memperkukuh Galeri Karyawan Nordin Ahmad bakal dipertingkat menerusi kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Perpaduan Negara, termasuk mendapatkan bantuan, sokongan serta khidmat nasihat teknikal bagi memastikan pengurusan galeri itu lebih mampan.

Inisiatif berkenaan bertujuan memelihara legasi Allahyarham Datuk Nordin Ahmad, di samping memastikan galeri tersebut terus berfungsi sebagai platform pendidikan yang memperkenalkan sumbangan tokoh perfileman itu kepada generasi akan datang.

Memandangkan muzium kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perpaduan Negara, kedua-dua kementerian akan bekerjasama bagi meneliti bentuk bantuan yang sesuai untuk memperkasakan pengurusan galeri berkenaan.

Pada masa sama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut diminta menyokong usaha itu dengan menyediakan bahan arkib, termasuk klip filem beresolusi tinggi, bagi memperkayakan koleksi pameran.

Bagi menarik minat golongan muda, galeri itu turut dicadang diperkasakan menerusi penggunaan elemen digital dan interaktif, termasuk penawaran penapis khas serta latar maya yang boleh digunakan di platform media sosial seperti TikTok.

Galeri tersebut, yang disokong menerusi Program Seberang Perai Levelling Up, berperanan sebagai pusat penghargaan dan pendidikan bagi memupuk rasa bangga terhadap warisan seni dan budaya negara, khususnya dalam kalangan pelajar.

Dibuka pada bulan Januari 2025, Galeri Karyawan Nordin Ahmad mengetengahkan perjalanan hidup serta sumbangan seni Allahyarham Datuk Nordin Ahmad, anak kelahiran Permatang Pauh yang dikenang menerusi filem klasik seperti Semerah Padi (1956) dan Hang Jebat (1961). Tokoh perfileman itu meninggal dunia di Singapura pada 1971 ketika berusia 42 tahun akibat demam kuning.

-BTSMedia.my

Leave a Comment