BTS Media

Padah Bawa Anak Musang Haram: Tiga Lelaki Dicekup di Sekatan Jalan Raya

TINDAKAN tiga lelaki membawa dua ekor anak musang pandan secara haram mengundang padah apabila mereka ditahan pihak berkuasa dalam satu pemeriksaan di Tanah Merah, malam Jumaat lalu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain mengesahkan bahawa tangkapan tersebut dibuat oleh anggotanya sekitar pukul 11.15 malam semasa pelaksanaan Ops Taring Wawasan di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 26 tahun itu ditahan selepas kenderaan yang dinaiki mereka diperiksa. Hasil pemeriksaan di bahagian ruang kaki penumpang belakang telah menemukan sebuah sangkar yang menyembunyikan dua ekor anak haiwan dilindungi tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pemandu kenderaan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah atau lesen menyimpan hidupan liar berkenaan. Siasatan awal turut mendedahkan bahawa suspek utama mengaku membeli anak musang itu pada harga RM50 seekor di Kubang Kerian daripada seorang individu yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Ahmad Radzi menambah, pihak PGA turut menyita kenderaan, sangkar haiwan, dan kedua-dua anak musang pandan tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM26,700. Kesemua suspek beserta barang rampasan kini telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan undang-undang seterusnya.

-BTSMedia.my

Leave a Comment