BTS Media

Bersatu disisih PN, kerjasama PAS dengan Umno hanya percaturan politik, bukan penyatuan Melayu

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti yang dipimpinnya kini dipinggirkan oleh Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan usaha gabungan itu menjalin kerjasama dengan Umno bukan bertujuan menyatukan orang Melayu, sebaliknya sekadar percaturan politik.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada hari Jumaat, bekas Perdana Menteri itu berkata bahawa Bersatu diketepikan daripada beberapa keputusan penting, termasuk proses pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, hak Bersatu sebagai parti pengasas PN telah dinafikan apabila rundingan pembahagian kerusi dihentikan atas alasan yang disifatkan tidak munasabah, selain parti itu tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan agihan kerusi antara parti komponen.

Muhyiddin turut mempersoalkan tuduhan bahawa Bersatu bertindak mendahului keputusan Majlis Tertinggi sedangkan, parti itu sendiri tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.

Kenyataan beliau dibuat sehari selepas Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menjelaskan bahawa rundingan awal dengan Barisan Nasional (BN) dijalankan dengan pengetahuannya sebelum mendapat pengesahan Majlis Tertinggi PN, sekali gus menolak dakwaan bahawa PAS bertindak secara bersendirian.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata sebarang keputusan dasar membabitkan gabungan sepatutnya dibawa terlebih dahulu ke Majlis Tertinggi PN sebelum rundingan dilakukan.

Beliau berkata rundingan dengan BN berlangsung tanpa penglibatan semua parti komponen dan tanpa mandat Majlis Tertinggi, sebaliknya hanya dibentangkan selepas keputusan mengenai kerjasama dicapai, yang merupakan kaedah membuat keputusan songsang.

Muhyiddin turut berkata bahawa sepanjang lima tahun menerajui PN, beliau tidak pernah mengetepikan mana-mana parti komponen dalam proses membuat keputusan, termasuk berkaitan dasar gabungan dan agihan kerusi pilihan raya, sebaliknya setiap rundingan serta keputusan dibuat secara bersama dan teratur.

Beliau juga menolak dakwaan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, bahawa Bersatu memilih untuk berpisah (mufarakah) daripada PN, sambil menegaskan parti itu tidak pernah mengambil keputusan meninggalkan gabungan tersebut.

Selain itu, Muhyiddin menyifatkan tuduhan bahawa Bersatu menjadi penghalang kepada penyatuan orang Melayu sebagai tidak bertanggungjawab, sambil menegaskan komitmen parti itu terhadap agenda berkenaan tidak pernah berubah sejak penubuhannya.

Menurut beliau, matlamat asal penubuhan PN adalah sebagai sebuah gabungan yang menghimpunkan parti-parti berteraskan Melayu bersama parti berbilang kaum, namun mendakwa Umno ketika itu enggan menyertai gabungan berkenaan atau menjadi sebahagian daripada pentadbiran PN.

Muhyiddin berkata kepimpinan PN yang diterajui PAS kini memilih untuk bekerjasama dengan Umno walaupun parti itu masih bersama Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.

Muhyiddin berkata kepimpinan PN yang diterajui PAS kini memilih untuk bekerjasama dengan Umno walaupun parti itu masih bersama Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.

Beliau mendakwa hubungan PAS dengan Bersatu telah terputus dan parti yang dipimpinnya kini dipinggirkan daripada PN, sekali gus menyifatkan perkembangan itu bukan mencerminkan penyatuan sebenar orang Melayu, sebaliknya hanya penyusunan semula kuasa politik.

Walaupun demikian, beliau mendoakan kejayaan PN dan menegaskan Bersatu tidak akan menoleh ke belakang, sebaliknya akan terus meneruskan perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 18 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.

-BTSMedia.my

Leave a Comment