RAPID KL memperkenalkan Pas Bulanan Rapid digital, iaitu pas perjalanan tanpa had yang boleh dibeli dan diaktifkan menerusi aplikasi Touch ‘n Go (TnG) eWallet.
Dalam satu kenyataan, Rapid KL memaklumkan pengguna kini boleh mengaktifkan atau memperbaharui pas bulanan mereka menggunakan telefon pintar sebelum menikmati perjalanan tanpa had merentasi rangkaian LRT, MRT, Monorel, BRT Sunway, bas Rapid KL dan bas pengantara MRT.
Menurut kenyataan itu, pas berkenaan ditawarkan pada harga RM150 dan sah digunakan selama 30 hari berturut-turut, sekali gus memudahkan pengguna pengangkutan awam melakukan perjalanan harian sambil menikmati penjimatan kos.
Rapid KL menjelaskan bahawa pengguna hanya perlu memastikan telefon pintar mereka menyokong fungsi Komunikasi Medan Dekat (NFC) serta aplikasi TnG eWallet dikemas kini kepada versi terkini bagi menggunakan kemudahan tersebut.
Pada masa sama, pembelian pas secara fizikal di kaunter stesen Rapid KL akan terus disediakan untuk pengguna yang masih memilih kaedah konvensional.
–BTSMedia.my



