BTS Media

Orang ramai di Kedah dinasihatkan kurangkan aktiviti luar susulan cuaca panas dan kering

PENDUDUK Kedah disaran mengurangkan aktiviti luar serta mengehadkan pendedahan kepada cahaya matahari langsung berikutan cuaca panas dan kering yang melanda kebanyakan kawasan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, berkata daerah Padang Terap kini mengalami keadaan gelombang haba dengan suhu mencecah antara 37°C hingga 40°C.

Beliau berkata keadaan cuaca di Kedah lebih panas berbanding negeri lain kerana ketiadaan hujan melebihi sebulan, dan orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar termasuk kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri serta aktiviti rekreasi.

Menurut beliau lagi, keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko strok haba, justeru orang ramai digalakkan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka kerana keadaan cuaca kering boleh menyebabkan api merebak dengan cepat.

Paras air di sungai dan empangan semakin menurun, selain terdapat kawasan yang sudah menghadapi kekurangan bekalan air. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membazir air dan menyimpan bekalan secukupnya untuk kegunaan penting.

Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada Tahap Satu (berjaga-jaga), termasuk beberapa daerah di Kedah seperti Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu, manakala Padang Terap berada pada Tahap Dua iaitu gelombang haba.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment