LIGA Arab berkata Israel tidak mempunyai hak menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah di Masjid Al-Aqsa, sambil mengecam penutupan kawasan masjid tersebut kepada jemaah.
Dalam satu kenyataan pada had Ahad, blok serantau itu berkata tindakan menyekat orang Islam memasuki masjid berkenaan, khususnya ketika bulan Ramadan, merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa. Liga Arab turut berkata langkah tersebut boleh menimbulkan kesan serius terhadap keamanan serta keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Organisasi itu juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya meningkatkan tekanan terhadap Israel agar menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai tidak sah di tapak-tapak suci di Jerusalem serta memastikan kebebasan beribadah dihormati.
Kenyataan itu dibuat ketika laluan masuk ke Masjid Al-Aqsa ditutup kepada jemaah. Pada masa sama, bilangan jemaah yang dibenarkan beribadah di Masjid Ibrahimi di Tebing Barat juga telah dihadkan.
Masjid Al-Aqsa terletak di kompleks Haram al-Sharif di Jerusalem Timur dan dianggap sebagai tapak suci ketiga paling penting bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Kawasan itu berada di bawah kawalan Israel sejak Perang Enam Hari 1967, walaupun sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap Jerusalem Timur sebagai wilayah yang diduduki.
Isu akses dan kawalan keselamatan di Masjid Al-Aqsa sering menjadi punca ketegangan antara Israel dan Palestin. Badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah berulang kali menegaskan kepentingan mengekalkan status quo di kawasan suci tersebut serta memastikan kebebasan beragama dihormati.
-BTSMedia.my



