KETEGANGAN berterusan di Timur Tengah boleh meningkatkan kos pengeluaran dan inflasi di Malaysia susulan kenaikan harga minyak global yang memberi kesan kepada kos tenaga, penghantaran dan insurans.
Perkembangan konflik itu telah mendorong kenaikan harga minyak dunia, sekali gus memberi kesan berantai kepada sektor pembuatan serta perdagangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia mengimport lebih banyak minyak berbanding yang dieksport, menyebabkan peningkatan harga minyak memberi tekanan kepada komitmen kewangan kerajaan, termasuk perbelanjaan subsidi.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak melebihi AS$100 setong boleh meningkatkan beban kerajaan dan kos pengeluaran barangan, yang seterusnya mendorong kenaikan inflasi.
Beliau berkata kerajaan bersedia menguruskan kesan tersebut dalam jangka pendek, namun ketidakstabilan berpanjangan boleh memerlukan perancangan dan strategi tambahan bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Keadaan geopolitik tidak menentu juga boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, khususnya dalam kalangan pelabur baharu yang mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memulakan projek di Malaysia.
-BTSMedia.my



