BTS Media

Kuwait, Arab Saudi terus jadi sasaran peluru berpandu kerana benarkan tentera Amerika beroperasi untuk serang Iran

GAMBAR REUTERS: Asap menjulang ke langit di bandaraya Riyadh, Arab Saudi berikutan serangan Iran

KUWAIT dan Arab Saudi terus menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron Iran ketika konflik serantau memasuki minggu kedua.

Tehran memberi amaran bahawa serangan akan diteruskan terhadap negara jiran yang membenarkan wilayah mereka digunakan oleh pihak musuh.

Tentera Kuwait berkata mereka bertindak balas terhadap gelombang dron Iran yang memasuki ruang udara negara itu. Menurut kenyataan pihak berkuasa, tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait turut menjadi sasaran.

Pihak tentera menggambarkan serangan itu sebagai sasaran langsung terhadap infrastruktur penting negara, manakala kenyataan berasingan memaklumkan bahawa beberapa kemudahan awam mengalami kerosakan akibat serpihan daripada operasi pemintasan udara.

Di Arab Saudi, kementerian pertahanan memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara negara itu cuba memintas beberapa dron yang memasuki ruang udara negara tersebut, termasuk dron yang dikesan berhampiran ibu kota Riyadh.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi tiga peluru berpandu balistik yang menuju ke Pangkalan Udara Prince Sultan berjaya dipintas dan dimusnahkan. Pangkalan udara tersebut menempatkan tentera Amerika Syarikat.

Serangan itu berlaku walaupun Presiden Iran sebelum ini memohon maaf kepada negara-negara Teluk atas serangan terdahulu. Beliau berkata negara-negara tersebut tidak lagi akan menjadi sasaran kecuali sekiranya serangan terhadap Iran dilancarkan dari wilayah mereka terlebih dahulu.

Namun beberapa jam kemudian, Iran berkata serangan akan diteruskan terhadap lokasi di negara Teluk yang berada “di bawah kawalan atau digunakan oleh pihak musuh”.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat minyak nasional Kuwait turut mengumumkan pengurangan pengeluaran minyak mentah sebagai langkah berjaga-jaga susulan serangan serta ancaman terhadap Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dari rantau Teluk.

-BTSMedia.my

Leave a Comment