BTS Media

Gempa bumi kuat gegar perairan Sabah

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda kawasan perairan berhampiran Kota Kinabalu, Sabah pada tengah malam tadi.

Menurut kenyataan agensi tersebut, kejadian yang berlaku pada pukul 12.57 tengah malam itu dikesan pada kedalaman 678 kilometer dengan pusat gempa terletak kira-kira 49 kilometer di barat Kudat.

Gegaran turut dirasai di beberapa lokasi di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, serta negara jiran, Brunei. Bagaimanapun, MetMalaysia memberi jaminan bahawa kejadian itu tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada negara dan pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi tersebut.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian tidak diingini atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Pihak bomba memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung impak gegaran tersebut. Tambah agensi itu, semua balai bomba kini sedang giat menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan seliaan masing-masing bagi memastikan keselamatan orang ramai serta keadaan persekitaran kekal terkawal.

-BTSMedia.my

Leave a Comment