BTS Media

Pejuang dakwa Anwar punca kontroversi SPRM, persoal jawatankuasa khas

PARTI Pejuang menyalahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dalam kontroversi melibatkan kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan menyifatkan isu itu sebagai kegagalan sistemik dalam kerajaan.

Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pertikaian berhubung Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bukan sekadar melibatkan individu berkenaan, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab politik di peringkat tertinggi. Menurutnya, lanjutan kontrak Azam dibuat atas nasihat perdana menteri, dan Anwar dilihat mempertahankan Azam daripada digantikan.

Rafique turut mempersoalkan kewajaran jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan berkaitan pemilikan saham Azam seperti dilaporkan Bloomberg. Katanya, panel tiga anggota itu dilantik atau dilanjutkan perkhidmatan atas nasihat perdana menteri, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebebasan siasatan.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, dengan keanggotaan termasuk Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Azam sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana badan penyiasat.

Dalam pada itu, Rafique membangkitkan isu komitmen kerajaan terhadap agenda pembanterasan rasuah. Beliau mendakwa tiada individu berprofil tinggi atau “maha kaya” ditahan setakat ini, sebaliknya tindakan penguatkuasaan didakwa lebih tertumpu kepada pihak yang tidak menyokong perdana menteri.

Sebagai contoh, beliau merujuk kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini berdepan 47 pertuduhan jenayah. Menurut Rafique, kes itu yang dibicarakan sejak pentadbiran Mahathir Mohamad hingga Ismail Sabri Yaakob, akhirnya diberikan keputusan lepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas Anwar menjadi perdana menteri ke-10.

Rafique menegaskan bahawa isu berkenaan menunjukkan kepimpinan negara menjadi faktor utama dalam kontroversi yang melanda SPRM dan menggesa rakyat menilai semula peranan perdana menteri dalam memastikan ketelusan serta integriti institusi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment