PEMIMPIN Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada hari Ahad berkata bahawa sebarang serangan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran akan mencetuskan konflik serantau lebih luas.
Menurut laporan tersebu media Irant, amaran itu dibuat susulan peningkatan kehadiran tentera laut Amerika Syarikat di Timur Tengah, selepas Presiden Donald Trump berulang kali mengancam untuk campur tangan sekiranya Iran enggan mencapai perjanjian nuklear atau gagal menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan.
Khamenei berkata bahawa kenyataan Trump mengenai penghantaran kapal perang tidak akan menakutkan rakyat Iran, sambil menegaskan bahawa ancaman sedemikian tidak akan menggugat pendirian negara itu.
Beliau menambah bahawa Iran tidak berniat memulakan serangan terhadap mana-mana negara, namun rakyat Iran akan bangun bertindak balas dengan tegas terhadap sesiapa yang menyerang atau mengganggu mereka.
Pada masa yang sama, Tehran menegaskan bahawa penyelesaian diplomatik masih terbuka, dengan kesediaan untuk mengadakan rundingan yang “adil” selagi keupayaan pertahanannya tidak dikekang.
Laporan itu turut menyebut bahawa tentera laut AS kini telah menempatkan enam kapal pemusnah, sebuah kapal pengangkut pesawat dan tiga kapal tempur pesisir di rantau tersebut.
Sementara itu, protes disokong AS yang tercetus pada akhir bulan Disember atas alasan kesukaran ekonomi, dilihat sebagai cabaran politik paling serius terhadap Republik Islam sejak penubuhannya pada tahun1979, kini telah reda.
Angka rasmi mencatatkan jumlah kematian berkaitan rusuhan mencecah 3,117 orang, manakala kumpulan hak asasi Iran berpangkalan di Amerika Syarikat, HRANA, yang dipercayai dibiayai oleh AS, mengesahkan 6,713 kematian setakat hari Ahad. Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan angka tersebut.
Khamenei turut menyamakan protes berkenaan dengan satu “kudeta”, dengan mendakwa bahawa matlamat apa yang disifatkannya sebagai “hasutan” itu adalah untuk menyerang pusat-pusat pentadbiran negara.
-BTSMedia.my



