BTS Media

Tiga kerusi DUN Perlis diisytihar kosong, PRK dijangka diadakan

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan, telah mengisytiharkan tiga kerusi DUN sebagai kosong susulan pemecatan tiga wakil rakyat daripada PAS.

Menurut beliau, pihaknya akan memaklumkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat melibatkan kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji.

Kerusi-kerusi berkenaan sebelum ini diwakili oleh Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), yang telah dipecat daripada PAS malam tadi.

Rus’ele turut menjelaskan bahawa walaupun penggal DUN semasa telah mencapai tempoh tiga tahun, beliau berpandangan pilihan raya kecil (PRK) masih perlu diadakan.

Beliau berkata, persidangan pertama DUN bagi penggal semasa bermula pada 19 Dis 2022 dan tempoh tiga tahun hanya akan berakhir pada 18 Dis tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat perkembangan semasa telah menjejaskan kedudukan majoriti dalam DUN Perlis, sekali gus menuntut tindakan lanjut diambil.

Menurutnya lagi, kekosongan tersebut wajar diisi bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri serta membolehkan perkhidmatan terbaik terus diberikan kepada rakyat.

-BTSMedia.my

Leave a Comment