MAHKAMAH Tinggi Bangladesh mengarahkan kerajaan negara itu menjelaskan kesahihan 10 syarat baharu yang ditetapkan bagi penghantaran pekerja ke Malaysia, selepas dasar itu dicabar oleh beberapa agensi pekerjaan tempatan.
Mahkamah memberi 10 hari kepada kerajaan untuk menjawab isu tersebut, susulan petisyen writ difailkan oleh tiga syarikat penghantaran pekerja, termasuk Afiya Overseas, yang mendakwa syarat berkenaan tidak munasabah dan bercanggah dengan undang-undang.
Perintah itu dikeluarkan oleh panel dua hakim Mahkamah Tinggi selepas mendengar hujahan awal daripada pihak pemohon, lapor Malaysiakini.
Peguam Afiya Overseas, Atikur Rahman, mengesahkan arahan mahkamah tersebut.
Beliau berkata kerajaan Bangladesh diarahkan memberi jawapan rasmi dalam tempoh yang ditetapkan.
Petisyen berkenaan mempersoalkan 10 syarat kelayakan yang diumumkan oleh Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh pada 18 November 2025, yang diperkenalkan susulan garis panduan baharu daripada kerajaan Malaysia.
Menurut pemohon, syarat-syarat itu didakwa berat sebelah, tidak praktikal dan berpotensi menyingkirkan sebahagian besar agensi pekerja yang berlesen serta sah beroperasi di Bangladesh.
Mereka turut mendakwa syarat tersebut hanya memihak kepada segelintir syarikat besar, sekali gus membuka ruang kepada monopoli dalam industri perekrutan pekerja migran dan menjejaskan persaingan sihat.
Antara syarat yang dipertikaikan ialah keperluan agensi mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman operasi berlesen dengan rekod prestasi memuaskan, selain membuktikan telah menghantar sekurang-kurangnya 3,000 pekerja ke luar negara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Agensi juga dikehendaki mempunyai pengalaman menghantar pekerja ke sekurang-kurangnya tiga negara berbeza, memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa Bangladesh serta sijil kelakuan baik daripada negara-negara penerima.
Mahkamah seterusnya mengarahkan kerajaan mempertahankan kesahihan dasar tersebut dan menjelaskan rasional di sebalik pengenalannya.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa 10 kriteria wajib telah ditetapkan bagi agensi luar negara yang ingin membekalkan pekerja asing ke Malaysia.
Melalui surat bertarikh 27 Oktober, Wisma Putra meminta kedutaan negara-negara sumber mengemukakan senarai agensi yang memenuhi semua syarat selewat-lewatnya pada 15 November 2025.
Antara syarat tambahan termasuk keperluan mempunyai testimoni positif daripada sekurang-kurangnya lima majikan antarabangsa, memiliki pejabat tetap bersaiz minimum 10,000 kaki persegi yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun, serta mempunyai pusat latihan sendiri.
Wisma Putra kemudian menjelaskan bahawa sebarang pertanyaan berkaitan dasar dan kriteria pengambilan pekerja asing perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sebagai kementerian peneraju.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menyatakan langkah rasionalisasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh amalan pengambilan pekerja asing secara beretika, telus dan berintegriti.
Isu tersebut turut dikaitkan dengan laporan sebelum ini mengenai dakwaan eksploitasi pekerja Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia, termasuk dakwaan sindiket dan pemerdagangan manusia sepanjang tempoh tahun 2022 hingga 2024.
Pada bulan Julai lalu, Bangladesh dilaporkan bersetuju menghentikan siasatan tertentu berkaitan dakwaan berkenaan selepas pertemuan antara wakil kedua-dua negara di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sehingga kini, Kesuma belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan kewujudan surat rasmi berkaitan perkara tersebut.
 – BTSMedia.my



