KENAIKAN mendadak harga ikan di seluruh negara bukan semata-mata berpunca daripada musim tengkujuh, sebaliknya turut disebabkan oleh manipulasi pasaran oleh pemborong yang menyimpan stok bagi menaikkan harga secara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata terdapat pemborong yang membeli ikan dalam kuantiti besar ketika musim puncak, menyimpannya di bilik sejuk dan hanya melepaskannya secara berperingkat apabila bekalan di pasaran berkurangan untuj mengambil kesempatan menaikkan harga.
Menurutnya, bekalan sebenar sudah wujud di pasaran, namun dilepaskan secara perlahan-lahan untuk memanipulasi sentimen dan permintaan, sekali gus membolehkan harga dinaikkan.
Beliau bagaimanapun mengakui Monsun Timur Laut yang berlaku dari bulan November hingga Mac merupakan faktor sebenar yang menjejaskan aktiviti perikanan dan mengurangkan bekalan, khususnya dari Pantai Timur yang menyumbang kira-kira 35 peratus kepada keseluruhan bekalan pasaran.
Gangguan bermusim itu lazimnya menyebabkan kenaikan harga antara 30 hingga 45 peratus. Sebagai contoh, harga ikan kembung besar meningkat daripada sekitar RM18 sekilogram kepada setinggi RM25 sekilogram di ibu negara.
Bagi mengurangkan kesan tersebut, beliau menjelaskan LKIM melaksanakan beberapa langkah termasuk memindahkan bekalan ikan dari Pantai Barat yang kurang terjejas ke Pantai Timur, menyeimbangkan pasaran dengan ikan import serta memanfaatkan stok beku spesies utama yang diperoleh sebelum musim tengkujuh.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebebasan pengguna untuk beralih kepada sumber protein lain membantu mengimbangi permintaan dan mengekang lonjakan harga secara mendadak.
Namun begitu, beliau menegaskan harga ikan tidak boleh ditetapkan oleh kerajaan kerana ia bukan barangan kawalan.
 – BTSMedia.my



