BTS Media

Penjual salahkan pemborong kerana harga sayuran melonjak

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Penjual runcit di beberapa negeri menuding jari kepada pemborong yang menaikkan harga kerana kekurangan beberapa jenis sayur hingga menyebabkan harga naik mendadak, justeru membebankan pengguna.

Menurut Berita Harian, harga beberapa sayur-sayuran di negeri seperti Kedah dan Kelantan kini melebihi tiga kali ganda, kecuali bendi dan sawi yang masih tidak berubah.

Seorang peniaga di Pasar Besar Alor Setar berkata ada dalam kalangan pembeli yang marah, namun mereka tiada pilihan kerana keuntungan amat rendah.

Antara yang lebih mahal sekarang ialah kacang panjang yang kini berharga RM10.

Menurut laporan itu, tanaman yang paling terjejas ialah terung panjang yang kini berharga RM12, naik daripada RM10.50 sekilo pada bulan lepas. Harga pada awal tahun hanya RM7 sekilo.

Di Terengganu, harga daun salad meningkat sehingga RM18 daripada RM5 sekilo sebelum ini.

Bendi, terung, sawi, cili merah, kembang kol, dan kacang hijau semuanya menyaksikan kenaikan RM3 berbanding harga sebelum ini.

Bagaimanapun, harga kacang panjang didapati turun daripada RM22 kepada RM15 sekilo.

Beberapa penjual sayur-sayuran berkata kenaikan harga memaksa mereka mengurangkan saiz bungkusan untuk menunjukkan kononnya harga tidak meningkat.

Seperti kebanyakan negara di seluruh dunia, Malaysia juga dilanda inflasi makanan yang mendadak berpunca daripada gangguan bekalan sejak pandemik Covid-19, yang diburukkan lagi oleh perang Rusia-Ukraine.

Keadaan ini telah memaksa kerajaan mengambil beberapa langkah, termasuk menghapuskan permit diluluskan (AP) untuk kebanyakan import makanan dan mengharamkan eksport ayam mulai bulan depan bagi menstabilkan bekalan dan harga tempatan.

Jabatan Perangkaan sebelum ini melaporkan bahawa inflasi makanan secara rasminya 4.1 peratus pada April, tetapi pengguna sebaliknya berdepan dengan kenaikan kadar inflasi dua atau tiga digit untuk banyak barang makanan termasuk beberapa makanan ruji.

-BTS Media

Leave a Comment