BTS Media

Kelajuan 5G Malaysia merosot hampir separuh

KELAJUAN muat turun 5G di Malaysia yang hampir merosot separuh berbanding paras kemuncaknya pada hujung tahun 2023, mencerminkan tekanan semakin ketara ke atas rangkaian tunggal negara susulan pertambahan pengguna yang begitu pantas.

Laporan terbaharu Ookla mendapati kejayaan awal peluasan 5G telah menarik jutaan pengguna dalam tempoh singkat, namun peningkatan permintaan kini menjejaskan prestasi rangkaian.

Menurut laporan itu, model rangkaian borong tunggal yang dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB) sebelum ini meletakkan Malaysia antara pasaran 5G terpantas dunia, dengan kelajuan median muat turun mencecah 451.79 Mbps pada hujung tahun 2023.

Namun, apabila rangkaian semakin matang dan bilangan pengguna melonjak, kelajuannya menurun kepada 242.92 Mbps pada suku ketiga tahun 2025. Prestasi muat naik turut mencatat penyusutan, daripada 49.87 Mbps kepada 29.52 Mbps dalam tempoh yang sama.

Laporan itu turut menyorot kekangan liputan sebagai isu utama. Walaupun hampir 80 peratus ujian kelajuan dilakukan menggunakan peranti berkeupayaan 5G, kebanyakan pengguna masih menghabiskan hampir dua pertiga masa sambungan mereka pada rangkaian 4G.

Keadaan ini dikaitkan dengan liputan dalaman dan luar bandar yang tidak menyeluruh, menyebabkan peranti sering kembali menggunakan rangkaian lama.

Bagi menangani cabaran tersebut, kerajaan dilaporkan telah meluluskan pelaksanaan rangkaian 5G kedua, dengan matlamat meningkatkan daya tahan sistem, menggalakkan persaingan dan memperbaiki pengalaman pengguna seiring perjalanan digital negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment