BTS Media

Kebakaran kondominium Mont Kiara ragut satu nyawa

SATU kebakaran yang berlaku di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur meragut nyawa seorang mangsa pada hari Rabu malam (10 Dis).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada hari Khamis (11 Dis) memaklumkan bahawa kebakaran tersebut melibatkan sebuah unit di tingkat 26 bangunan berkenaan.

“Operasi pemadaman dan menyelamat dijalankan segera namun pasukan menghadapi kesukaran akibat kegagalan fungsi sistem pencegahan kebakaran di bangunan itu.

“Pasukan terpaksa menggunakan dua pam air mudah alih dan sebuah pam jentera bomba untuk menyalurkan air ke unit terlibat,” menurut kenyataan itu.

Anggota bomba menemui mayat seorang lelaki dengan kesan melecur di seluruh badan di bahagian balkoni unit tersebut.

Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 2.03 pagi, namun unit berkenaan musnah sama sekali.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik.

-BTSMedia.my

Leave a Comment