BTS Media

PN Kedah akan meneliti siasatan SPRM terhadap seorang ahli parlimennya

PERIKATAN Nasional (PN) Kedah akan meneliti semula siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang ahli parlimen gabungan itu berhubung dakwaan rasuah berkaitan usaha sama penternakan lembu yang melibatkan kerajaan negeri.

Menurut satu kenyataan, Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, memaklumkan bahawa beliau masih belum menerima maklumat terperinci mengenai kes berkenaan dan hanya mengetahui perkembangannya melalui laporan media.

Beliau berkata parti akan meneliti isu tersebut, namun sebarang keputusan akan diserahkan kepada kepimpinan tertinggi.

Beliau menjelaskan bahawa oleh keranan tiada laporan rasmi diterima setakat ini, maka adalah sukar untuk membuat penilaian kerana maklumat masih belum kukuh.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bahawa beliau juga belum menerima taklimat penuh mengenai penahanan ahli parlimen berkenaan atau butiran siasatan. Ditanya sama ada kes itu berpunca daripada pentadbiran terdahulu, beliau memaklumkan bahawa perkara tersebut akan disahkan kemudian.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari, satu-satunya wakil Pakatan Harapan di Kedah, turut menjelaskan bahawa beliau bukan individu yang sedang disiasat.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen, dengan 14 daripadanya dipegang oleh PN. Ahli parlimen yang terlibat itu dilaporkan ditahan oleh SPRM Kedah semalam.

Menurut satu sumber, siasatan yang bermula bulan Februari lalu tertumpu kepada dakwaan bahawa ahli parlimen berkenaan menerima kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak guna tanah bagi projek fidlot tersebut. Aduan dibuat pada 10 Februari dan keterangan daripada 15 saksi telah direkodkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, turut mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa keterangan ahli parlimen berkenaan diambil di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM sebelum individu tersebut dibebaskan dengan jaminan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment