BEBERAPA syarikat baharu di Jepun memanfaatkan gabungan kecerdasan buatan (AI) dan imej satelit bagi mengesan kediaman terbiar yang berpotensi untuk dijual, menurut agensi berita Kyodo.
Perkhidmatan yang dibangunkan syarikat Where Inc menggunakan AI yang dilatih dengan puluhan ribu foto untuk mengenal pasti bumbung usang berdasarkan ciri seperti karat dan perubahan warna. Rumah yang disyaki ditinggalkan kemudian ditanda pada imej satelit.
Salah seorang pengguna, Kotaro Yasue, menemui sebuah rumah kayu dua tingkat melalui perkhidmatan itu dan berjaya menghubungi pemiliknya melalui daftar hartanah.
Rumah tersebut didapati telah tidak berpenghuni lebih 10 tahun, sementara si pemilik tidak tahu cara menanganinya.
Yasue, yang mengendalikan syarikat perkhidmatan sewaan rumah di wilayah Gifu, bersetuju membeli kediaman tersebut pada harga satu yen sahaja.
Dia berkata sebelum menggunakan perkhidmatan itu, dia perlu berurusan dengan ejen hartanah tempatan atau memeriksa lokasi secara manual.
Jumlah rumah terbiar di Jepun dilaporkan terus meningkat, dengan data kerajaan menunjukkan sekitar sembilan juta kediaman tidak berpenghuni direkodkan pada tahun 2023.
Menurut Where, perkhidmatan AI tersebut dibangunkan dengan bantuan teknologi yang sedang dibangunkan oleh sebuah entiti berkaitan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) untuk menganalisis kawah di permukaan Bulan.
Teknologi itu juga boleh membantu mengenal pasti tanah yang sesuai dijadikan tapak parkir atau pemasangan panel solar.
Syarikat berpangkalan di Tokyo itu telah memperoleh kira-kira 50 pelanggan korporat sejak pelancaran berskala penuhnya pada 2024.
Seorang pegawai berkata mereka berharap teknologi tersebut dapat membantu pihak industri memanfaatkan aset hartanah yang tidak digunakan.
– BTSMedia.my



