Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, syarikat induk Google, Sundar Pichai memberitahu BBC bahawa setiap syarikat berkaitan di dunia berisiko terkesan sekiranya berlaku “letupan” gelembung pelaburan kecerdasan buatan (AI).
Beliau menegaskan bahawa tiada pihak akan benar-benar kebal daripada risiko tersebut.
Dalam temu bual eksklusif bersama BBC News, beliau menyifatkan pertumbuhan besar-besaran pelaburan AI di serata dunia sebagai “detik luar biasa”, namun pada masa sama mengingatkan bahawa terdapat unsur “ketidakrasionalan” dalam fenomena ledakan kehajiran pelaburan AI ketika ini.
Perkembangan itu berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat di Silicon Valley, Amerika Syarikat dan di peringkat global, susulan lonjakan nilai syarikat berasaskan AI dalam beberapa bulan kebelakangan ini serta perbelanjaan besar syarikat-syarikat gergasi teknologi untuk menguasai sektor tersebut.
Apabila ditanya sama ada Google dapat mengelak kesan sekiranya gelembung AI pecah, Pichai berkata bahawa walaupun syarikat itu mungkin berupaya meredakan impak, namun ia tetap tidak akan terkecuali sepenuhnya. Beliau menegaskan bahawa “tiada syarikat yang akan benar-benar kebal, termasuk Google sendiri.”
Dalam wawancara yang diadakan di ibu pejabat Google di California itu, Pichai turut menyentuh isu keperluan tenaga, kelembapan pencapaian sasaran iklim, pelaburan di United Kingdom, ketepatan model AI syarikat, serta kesan revolusi AI terhadap pekerjaan. Wawancara tersebut berlangsung ketika perhatian terhadap keadaan pasaran AI berada pada tahap yang paling tinggi.
Saham Alphabet meningkat dua kali ganda dalam tempoh tujuh bulan, mencecah nilai AS$3.5 trilion (RM14.6 trilion), selaras dengan keyakinan pasaran terhadap kemampuan syarikat menyaingi OpenAI, pemilik ChatGPT.
Tumpuan khusus turut diberikan kepada pembangunan cip super khusus AI oleh Alphabet, yang bersaing secara langsung dengan Nvidia, syarikat yang diterajui Jensen Huang, yang baru-baru ini menjadi syarikat pertama di dunia mencapai penilaian AS$5 trilion.
Seiring kenaikan penilaian itu, ramai penganalisis berasa sangsi melihat nilai syarikat AI naik terlalu cepat. Mereka bimbang kerana terlalu banyak urus niaga besar dan rumit sedang dibuat membabitkan OpenAI, hingga menimbulkan keraguan sama ada semuanya benar-benar berasas.
Open AI diunjurkan memperoleh pendapatan tahun ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah pelaburan yang dirancang.
Pichai juga merujuk kepada amaran bekas Pengerusi Federal Reserve AS, Alan Greenspan pada tahun 1996 mengenai “keterujaan tidak rasional” ketika era gelembung dotcom. Beliau berkata industri berkenaan sering “terlebih langkah” dalam kitaran pelaburan seperti ini.
Menurut beliau lagi, sejarah perkembangan internet menunjukkan bahawa walaupun terdapat pelaburan berlebihan pada peringkat awal, tiada siapa pada hari ini akan menafikan impak mendalamnya.
Beliau menjangkakan bahawa AI bakal mengikuti corak yang sama, iaitu gabungan antara pelaburan rasional dan unsur ketidakrasionalan dalam tempoh pertumbuhan luar biasa seperti sekarang.
Kenyataan Pichai timbul susulan amaran daripada Ketua Eksekutif JP Morgan, Jamie Dimon, yang sebelum ini memberitahu BBC bahawa pelaburan dalam teknologi AI akan memberikan pulangan jangka panjang, namun sebahagian besar dana yang dilaburkan mungkin “akan hilang begitu sahaja”.
Pichai bagaimanapun berkata bahawa model unik Google yang memiliki keseluruhan (full stack) teknologi, daripada cip, data YouTube, sehinggalah kepada model dan penyelidikan saintifik termaju, menjadikan syarikat itu lebih bersedia menghadapi sebarang ketidakstabilan pasaran AI.
Beliau juga berkata Google sedang memperluas jejak pelaburannya di UK. Pada bulan September lalu, Alphabet mengumumkan komitmen pelaburan £5 bilion bagi infrastruktur dan penyelidikan AI dalam tempoh dua tahun akan datang. Pichai berkata syarikat itu akan membangunkan kerja penyelidikan bertaraf dunia di UK, termasuk di unit AI utama mereka, DeepMind, yang berpusat di London.
Buat pertama kalinya, beliau menyebut bahawa Google bersedia “dari semasa ke semasa” untuk mengambil langkah melatih model AI sepenuhnya di UK – sesuatu yang disokong oleh kerajaan sebagai usaha meletakkan negara itu sebagai kuasa AI nombor tiga dunia selepas Amerika Syarikat dan China. Pichai menegaskan bahawa Alphabet komited untuk terus membuat pelaburan besar di UK.
Namun demikian, beliau memberi amaran mengenai keperluan tenaga yang “amat besar” bagi teknologi AI.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, penggunaan tenaga global untuk AI mencapai 1.5% daripada jumlah bekalan elektrik dunia pada tahun lalu.
Pichai berkata tindakan perlu diambil, termasuk di UK, untuk membangunkan sumber tenaga baharu dan memperluas infrastruktur tenaga agar pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.
Beliau juga mengakui bahawa permintaan tenaga yang tinggi akibat perkembangan AI menyebabkan pencapaian sasaran iklim Alphabet sedikit terkesan, walaupun syarikat itu masih menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2030 melalui pelaburan dalam teknologi tenaga baharu. Menurutnya, kadar kemajuan yang dirancang sebelum ini “akan terkesan”.
Pichai berkata AI akan membawa kesan ketara terhadap dunia pekerjaan, sambil menggambarkannya sebagai “teknologi paling mendalam” yang pernah dibangunkan manusia.
Beliau berkata bahawa masyarakat perlu menangani gangguan sosial yang bakal berlaku, namun AI juga dijangka membuka peluang baharu.
Menurutnya, pelbagai pekerjaan akan terus wujud, tetapi mereka yang berjaya di masa hadapan ialah individu yang bersedia menyesuaikan diri dan memanfaatkan AI dalam kerjaya masing-masing.
-BTSMedia.my



