Oleh Zainal AS Rashid
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada syarikat Celcom, Digi dan UMobile supaya menambah baik perkhidmatan mereka di Langkawi.
SKMM berkata arahan dikeluarkan kepada tiga syarikat telekomunikasi itu setelah mereka “gagal memenuhi standard perkhidmatan jalur lebar” di pulau itu, termasuk lebuh raya Langkawi dan beberapa lokasi pelancongan.
Suruhanjaya itu berkata kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan syarikat berkenaan dikenakan denda sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
Melalui satu kenyataan hari ini, arahan yang dikeluarkan pada 19 Mei memerlukan ketiga-tiga syarikat itu meningkatkan kualiti perkhidmatan selaras dengan standard di bawah Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Arahan dikeluarkan susulan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di 3,038 lokasi di 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan.
Pada 14 Jun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata SKMM telah diarah melaksanakan pemetaan di seluruh negara bagi mengukur tahap sebenar kelajuan Internet.
Pemetaan ialah untuk membandingkan kelajuan dengan laporan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi berikutan rungutan orang ramai, terutama di kawasan luar bandar berhubung kualiti perkhidmatan yang disediakan syarikat berkenaan.
-BTS Media