Oleh Yusoff A. Shariff
GESAAN polis trafik bandar raya supaya orang ramai tidak memuat naik ke media sosial amaran ‘roadblock’ telah menimbulkan kemarahan.
Sesetengah pemandu berkata adalah hak mereka untuk dimaklumkan demikian melalui aplikasi navigasi, seperti Waze.
Mereka berkata, bentuk maklumat sebegitu boleh menggalakkan pemandu untuk bertukar kepada pemanduan lebih berhemah.
Seorang pemandu, Nazrin Adhim Razali, 22, berkata pemakluman melalui aplikasi navigasi mampu memberikan kesan positif kepada pengguna jalan raya.
“Pemakluman kepada pemandu lain tentang kehadiran polis di jalan raya adalah satu perkara yang baik. Orang ramai akan cenderung untuk memandu dengan lebih berhati-hati apabila mereka menyedari ada sekatan jalan raya di hadapan.
“Mereka akan perlahankan kenderaan dan mematuhi peraturan, melainkan mereka sengaja mahu dikompaun,” katanya kepada New Straits Times.
Dia berkata, walaupun tanpa aplikasi navigasi, beberapa penunggang motosikal dan pemandu yang ingkar akan membuat pusingan U apabila mereka melihat sekatan jalan raya polis di hadapan.
Katanya, perkara sebegitu sering berlaku apabila sekatan jalan raya diadakan di kawasan perumahan.
Seorang lagi pemandu, Noor Athirah Suhaimi, 34, bersetuju dengan gesaan polis supaya pemandu berhenti menghantar maklumat terkini mengenai sekatan jalan raya.
Bagaimanapun, dia merasakan bahawa makluman tentang kehadiran polis boleh memberi manfaat dalam usaha membanteras jenayah secara keseluruhan.
“Mereka yang berhasrat untuk menyertai perlumbaan jalanan haram atau menyeludup dadah akan berfikir dua kali untuk melakukannya jika mereka tahu polis sedang membuat pemeriksaan,” katanya.
Pada Ahad lepas, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bandaraya Asisten Komisioner Sarifuddin Mohd Salleh merayu kepada pengguna jalan raya supaya tidak menyiarkan amaran tentang kehadiran polis di jalan raya melalui aplikasi, seperti Waze kerana ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan pesalah trafik lain.
Sarifuddin berkata walaupun tiada apa yang boleh dilakukan oleh polis untuk menghalang orang ramai daripada berbuat demikian, namun pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang disebabkan oleh pemandu mabuk dan pemandu kenderaan lain, seperti melanggar lampu isyarat dan melakukan kesalahan lain.
Sementara itu, seorang pakar berkata agensi penguatkuasaan boleh menyuarakan keluhan mereka tentang ciri-ciri aplikasi navigasi ini kepada pihak berkuasa berkaitan.
Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan Mohammad Hisham Shafie berkata perkara seperti itu boleh dibincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri, Komunikasi dan Digital, Kerja Raya dan Pengangkutan.
“Perbincangan sedemikian akan membantu mengenal pasti semua ciri positif dan negatif pada aplikasi berkenaan.”
Hisham, yang merupakan penasihat Persatuan Pengguna Siber Malaysia, berkata pengguna tidak boleh dipersalahkan daripada memanfaatkan ciri sedemikian pada aplikasi.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak melarang aplikasi sedemikian.
“Sekiranya polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan yakin bahawa aplikasi tersebut adalah punca kepada masalah semasa menjalankan operasi, mereka harus mendapatkan persetujuan daripada kementerian berkaitan mengenai kaedah untuk melarang penggunaan aplikasi berkenaan oleh pemandu di Malaysia.
“Pengguna jalan raya boleh menggunakan aplikasi ini selagi tidak dilarang oleh pihak berkuasa.”
Ini ini juga pernah diketengahkan di beberapa negara tidak lama dahulu.
Pada February 2019, polis New York, Amerika Syarikat telah menuntut supaya Google membuang ciri pemakluman kehadiran polis daripada aplikasi Waze. Google, bagaimana pun, enggan melakukannya dengan alasan ciri tersebut mendorong pemandu supaya memandu dengan lebih berhemah.
Sebenarnya, bukan hanya aplikasi navigasi era teknologi maya zaman ini dipersoalkan, malah sebelum kemunculan Internet dan aplikasi pintar lagi, pengguna jalan raya telah pun mempunyai kaedah, seperti penggunaan CB radio dan walkie-talkie untuk melakukan perkara yang sama.
Di bawah Perlembagaan Amerika Syarikat (First Amendment), Google berhak melengkapi aplikasinya dengan ciri-ciri pemantauan kehadiran polis.
-BTS Media