BTS Media

Chevening scholar dari Sungai Siput cipta sejarah sebagai saintis atmosfera pertama negara

SEORANG sarjana Chevening dari Heawood Estate di Sungai Siput, Perak mencipta sejarah apabila menjadi saintis atmosfera pertama di Malaysia.

Dr Jayaprakash Muralitharan, 44, pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), bapa kepada dua anak, menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang Kimia (Sains Atmosfera) dari University of Cambridge pada 25 Oktober lalu.

Beliau berkata bahawa latar belakangnya membesar dalam komuniti estet yang serba sederhana menyebabkan impian melanjutkan pelajaran ke Cambridge suatu ketika dahulu pernah dianggap mustahil.

Menurut beliau, dorongan bapanya serta tajaan kerajaan Malaysia telah membuka jalan kepadanya untuk meraih kejayaan akademik tersebut.

Penyelidikan doktoral beliau tertumpu kepada isu alam sekitar kritikal negara, iaitu jerebu rentas sempadan.

Ia termasuk penggunaan pemodelan atmosfera, imejan satelit, analisis statistik dan teknik data raya untuk mengkaji pergerakan zarah pembakaran biojisim dari Sumatera ke Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang.

Setelah kembali ke tanah air, Jayaprakash telah mengemukakan cadangan pembangunan alat ramalan jerebu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Malaysia.

Prototaip itu menggabungkan data raya daripada pelbagai agensi kerajaan, kepakaran pembelajaran mesin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta infrastruktur data daripada Jabatan Alam Sekitar.

Sistem tersebut turut diiktiraf berpotensi menjadi penanda aras serantau dalam ramalan jerebu berasaskan AI.

Pakar atmosfera negara, Profesor Mohd Talib Latif dari UKM, turut memuji impak dasar penyelidikan Jayaprakash.

Beliau berkata kajian berkenaan menghubungkan sains dan dasar, sekali gus menyokong respons Malaysia terhadap isu jerebu rentas sempadan.

Usaha sedemikian menunjukkan bagaimana kecemerlangan penyelidikan boleh melahirkan inovasi seperti peramal jerebu berasaskan AI dan mengukuhkan kerjasama serantau.

Jayaprakash menzahirkan penghargaan kepada para mentornya di Cambridge, termasuk Profesor Alex Archibald, Profesor Chiara Giorio dan Jennifer Schooling, yang memainkan peranan penting dalam membimbing penyelidikannya.

Pendekatan inovatif beliau dalam penggunaan data satelit juga telah memberikan sumbangan bermakna terhadap pemahaman pola pergerakan jerebu di Malaysia dan rantau ini.

Jayaprakash menegaskan bahawa matlamatnya adalah untuk memanfaatkan sains demi kepentingan awam, termasuk menyokong pembangunan dasar AI negara khususnya dalam pengurusan alam sekitar.

Beliau juga memiliki ijazah sarjana Chevening dalam bidang Kelestarian dan Pengajian Alam Sekitar dari University of Strathclyde di Glasgow serta ijazah kejuruteraan kimia dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment