MENURUT seorang pakar undang-undang, perbandingan dibuat Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, yang mengaitkan isu rasuah dan dadah dengan amalan memakan babi, serta membandingkannya dengan budu dan belacan, adalah tidak tepat dan menunjukkan kegagalan memahami isu sebenar.
Kenyataan wakil rakyat itu telah mencetuskan rasa tidak senang kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, khususnya dalam konteks polemik cadangan pembukaan ladang ternakan babi seluas kira-kira 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Tidak wujud sebarang penghinaan terhadap makanan masyarakat Dayak atau pemakan babi, sebaliknya kenyataan tersebut dianggap memperlekeh makanan tradisi orang Melayu seperti budu dan belacan.
Katanya, isu yang sedang diperdebatkan adalah berkaitan babi hidup dan operasi ladang berskala besar, bukannya makanan yang telah diproses.
Penulis turut menegaskan bahawa budu dan belacan merupakan hasil makanan yang melalui proses penapaian, dihasilkan secara kecil-kecilan, dan diusahakan oleh pelbagai kaum serta agama.
Menurutnya, ia tidak boleh disamakan dengan industri ternakan babi yang melibatkan penggunaan tanah berskala besar serta berpotensi menimbulkan kebimbangan alam sekitar dan kesihatan awam.
Beliau mengingatkan bahawa Hulu Selangor mempunyai majoriti penduduk Islam, dan berdasarkan bancian 2020, seramai 74.1 peratus daripada 243,029 penduduk kawasan Parlimen itu beragama Islam. Justeru, katanya, sensitiviti umat Islam terhadap isu berkaitan babi perlu diambil kira.
Penulis berpandangan bahawa mengaitkan pemilihan makanan dengan rasuah merupakan tindakan yang kurang bijak, kerana rasuah adalah perbuatan jenayah yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan urusan rasmi, bukan amalan pemakanan.
Katanya, perbuatan rasuah bergantung kepada pilihan individu, dan tidak pernah menjadi amalan pihak berkuasa untuk menilai kesalahan berdasarkan apa yang dimakan oleh seseorang.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa sebagai seorang ahli Parlimen, Willie sepatutnya memberi tumpuan kepada masalah di kawasannya sendiri seperti infrastruktur, kemudahan kesihatan dan kebajikan penduduk, bukannya mencampuri polemik yang berlaku jauh dari Puncak Borneo.
Beliau turut merujuk kepada contoh penternakan babi moden di China, termasuk sebuah bangunan 26 tingkat di Ezhou, Hubei, yang beroperasi sejak 2022 dengan sistem automasi tinggi, dan berpendapat bahawa pendekatan sebegitu, jika perlu, lebih berdaya saing serta tidak memerlukan kawasan tanah yang terlalu luas.
Penulis juga mengingatkan bahawa setakat ini tidak pernah dilaporkan pemakan budu atau belacan dijangkiti penyakit seperti Japanese encephalitis atau virus Nipah, berbeza dengan kejadian wabak yang pernah dikaitkan dengan ladang babi di Bukit Pelanduk, Port Dickson pada 1998 dan 1999.
Pandangan itu ditulis oleh Shahray Zulkifli, seorang bekas peguam syarie di Brunei Darussalam yang kini bergiat sebagai penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga Islam.
 – BTSMedia.my



