BEKAS panglima tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.1 juta.
Tertuduh yang berusia 58 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi pada hari Khamis (22 Jan).
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima wang berjumlah RM969,000; RM474,850; RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank atas namanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan utama Bank Muamalat di Jalan Melaka, Menara Maybank dan Maybank Bukit Damansara antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2025.
Muhammad Hafizuddeain didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan termasuk kewajipan melapor diri setiap bulan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penyerahan pasport tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM100,000 dengan alasan anak guamnya merupakan pesara yang menerima pencen RM15,000 sebulan serta akaun banknya telah dibekukan. Beliau turut memaklumkan bahawa isteri tertuduh, Salwani Anuar, juga didakwa pada hari yang sama dan tertuduh perlu menanggung jaminannya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mac.
 – BTSMedia. my



