PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, untuk membentuk sebuah gabungan besar atau “kolaborasi agung” yang kononnya akan menyatukan parti Melayu dan Islam sukar menjadi kenyataan selagi UMNO masih mengekalkan kerjasama politik dengan DAP.
Menurut beliau, meskipun kekal terbuka terhadap cadangan tersebut, hubungan erat antara UMNO dan DAP dalam kerajaan ketika ini menjadi halangan utama kepada pelaksanaannya.
Muhyiddin menegaskan bahawa pihaknya tidak dapat menerima sebarang bentuk kerjasama selagi UMNO bersama DAP, dan persoalan sama ada Zahid bersedia berpisah daripada Pakatan Harapan perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan lanjut diadakan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam bersama pengamal media berbahasa Tamil di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.
Cadangan pembentukan kolaborasi agung itu sebelum ini dikemukakan oleh Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu, tapi dengan syarat ia tidak mengganggu atau menggugat kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Muhyiddin turut menjelaskan bahawa gabungan pembangkang masih belum membincangkan soal menyertai mana-mana gabungan baharu, dan sebarang kerjasama luar perlu dipersetujui secara bersama dalam Perikatan Nasional. Setakat ini, katanya, tiada keputusan atau perbincangan sedemikian dibuat.
Berhubung kemungkinan bertemu Zahid, Muhyiddin dilaporkan menyatakan kesediaannya untuk mengadakan perjumpaan pada bila-bila masa, namun menegaskan bahawa niat sebenar di sebalik cadangan kolaborasi agung itu perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum langkah lanjut diambil.
-BTSMedia.my



