BTS Media

RSF didakwa lakukan kekejaman di El-Fasher, PBB tuntut siasatan bebas

PASUKAN Sokongan Pantas (RSF) Sudan telah menawan beberapa pejuang yang didakwa terlibat dalam penderaan ketika menawan El-Fasher.

Susulan perkembangan yang semakin membimbangkan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa diadakan siasatan bebas terhadap dakwaan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman lain.

RSF yang dipercayai menawan bandar itu selepas kepungan selama 18 bulan, berjaya menawan kubu terakhir tentera di Darfur. Mangsa yang terselamat memberitahu media mengenai hukuman mati tanpa bicara, kanak-kanak ditembak, serta orang awam dipukul dan dirompak ketika melarikan diri.

RSF telah menahan beberapa suspek, termasuk seorang pejuang dikenali sebagai Abu Lulu, yang didakwa melakukan beberapa siri pembunuhan rambang. Kumpulan itu berjanji mengambil tindakan disiplin dan memberi perbicaraan yang adil, sambil menyiarkan rakaman video yang menunjukkan lelaki berkenaan di dalam tahanan.

Menurut PBB, berdasarkan maklumat mengenai pembunuhan, rogol, rompakan dan perpindahan paksa, ratusan orang awam mungkin terbunuh.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ratusan kematian dalam serangan ke atas sebuah hospital bersalin.

Pegawai PBB turut mempersoalkan komitmen RSF terhadap kebertanggungjawaban, ketika imej satelit didakwa menunjukkan kelompok mayat di bandar itu.

Penganalisis memberi amaran keganasan dijangka berterusan, khususnya terhadap komuniti bukan Arab, justeru mengulangi episod pembunuhan berasaskan etnik di Darfur sebelum ini. Puluhan ribu telah melarikan diri dari El-Fasher dalam beberapa hari kebelakangan ini, dan ramai lagi masih terperangkap.

Agensi PBB juga melaporkan keganasan merebak ke Kordofan Utara. Ramai orang awam terbunuh dan ribuan dipindahkan dalam serangan balas RSF. Tentera Sudan dan RSF pernah dituduh melakukan jenayah perang sejak konflik bermula pada bulan April 2023.

Ke­jatuhan El-Fasher memberi RSF kawalan ke atas semua bandar utama di Darfur, secara efektif membahagikan Sudan antara dua pihak berkuasa yang bersaing.

-BTSMedia.my

Leave a Comment