BTS Media

Pekerja balak maut diserang gajah liar di Gua Musang

SEORANG mandur balak maut diserang gajah liar di kawasan rumah kongsi tapak pembalakan, Felda Aring 8, Gua Musang, semalam.

Mangsa, Saidi Jahari, 43, ditemukan di jalan keluar kawasan berkenaan dengan kecederaan parah, dipercayai dipijak haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati enam pekerja pembalakan sedang tidur di rumah kongsi ketika mereka terhidu bau gajah dan mendengar bunyi bising di luar sebelum menyedari sekawan gajah liar menghampiri kawasan itu.

Kesemua pekerja melarikan diri ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian.

Beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja itu kembali dan mendapati mangsa masih hidup tetapi mengalami kecederaan serius kedua-dua kaki.

Mereka membawa mangsa ke dalam rumah kongsi, namun seekor gajah dipercayai ketua kawanan kembali ke kawasan itu dan menyerang, menyebabkan pekerja melarikan diri sekali lagi dan meninggalkan mangsa.

Selepas keadaan reda, pekerja kembali dan mendapati mangsa telah meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Superintendan Sik memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah diberitahu dan sedang mengesan serta mengawal pergerakan kawanan gajah terlibat.

  – BTSMedia.my

 

Leave a Comment