AGENSI pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada hari Selasa, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Israel memberi alasan yang tidak boleh diterima bahawa serangan itu adalah sebagai tindak balas dakwaan serangan pejuang Hamas terhadap tenteranya.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan “serangan ganas” dilancarkan semula ke atas Gaza selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menuduh Hamas melanggar “garisan merah” dengan menyerang askar Zionis di Gaza.
Hamas menafikan penglibatan dalam kejadian itu, dan mendakwa pejuangnya tidak terlibat dalam kejadian tembakan di Rafah.
Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, menegaskan bahawa gencatan senjata masih kukuh walaupun terdapat “pertempuran kecil,” sambil berkata Washington percaya perjanjian damai itu akan kekal.
Tiga serangan dilancarkan di beberapa kawasan, termasuk berhampiran Hospital Al-Shifa, manakala lima orang terbunuh apabila kenderaan mereka naiki disasarkan peluru berpandu.
Ketegangan meningkat apabila Hamas menangguhkan penyerahan mayat tebusan yang dijadualkan, kerana Israel meneruskan keganasan.
Israel pula menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata kerana hanya menyerahkan semula cebisan mayat tebusan yang telah ditemui dua tahun lalu.
Forum Keluarga Tebusan dan Hilang di Israel menggesa kerajaan Israel bertindak terhadap dakwaan pelanggaran tersebut, walaupun tidak benar.
Hamas sekeras-kerasnya menafikan mengetahui lokasi baki mayat tebusan, memandangkan dahsyatnya runtuhan bangunan akibat serangan Israel sejak dua tahun lalu.
Penduduk Gaza menyuarakan kebimbangan bahawa peperangan akan kembali meletus. Mereka memberi amaran bahawa tuduhan yang semakin melampau oleh Israel boleh mencetuskan pusingan baharu peperangan.
— BTSMedia.my



