PRESIDEN MCA, Wee Ka Siong (BN–Ayer Hitam) menyindir kerajaan kerana didakwa lebih gemar membiayai projek mewah berbanding menyelesaikan isu asas rakyat dalam Belanjawan 2026.
Beliau mempersoalkan peruntukkan RM600 juta untuk memulihkan Carcosa Seri Negara — bangunan penjajah yang kini menjadi hotel butik — sedangkan hospital kekurangan doktor dan universiti awam berdepan kekangan dana.
Wee turut mempersoalkan peruntukan RM4 bilion bagi pembangunan Kota Madani, menyifatkannya sebagai tanda keutamaan kerajaan yang tersasar.
Beliau juga dikatakan menegur penggunaan GLC dan GLIC untuk menampung perbelanjaan kerajaan, yang disifatkannya sebagai “penjarahan fiskal” dan boleh menjejaskan pulangan jangka panjang kepada rakyat.
Menurutnya, GLC bukan “mesin ATM kerajaan”, dan tindakan mencairkan aset untuk menampung defisit semasa bermakna kerajaan sedang menggadaikan masa depan demi menampal kelemahan hari ini.
Pandangan itu seiring dengan amaran bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli bahawa penggunaan dana GLC dan GLIC boleh melemahkan kedudukan strategik syarikat- syarikat tersebut.
Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion, dengan tambahan RM50.8 bilion daripada GLIC dan pelaburan awam-swasta, menjadikan keseluruhan perbelanjaan RM470 bilion.
Angka itu mencerminkan sebuah kerajaan yang lebih sibuk memulihkan bangunan warisan daripada memperbaiki sistem kesihatan yang semakin tenat.
– BTSMedia.my