HUMANITARIAN Care Malaysia (MyCare) mengesahkan bahawa tentera Israel telah memintas beberapa buah kapal dari misi ‘Gaza Freedom Flotilla’ pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia hari ini, selepas isyarat komunikasi mereka disekat.
Seramai sembilan rakyat Malaysia adalah antara kira-kira 100 sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi tersebut.
Kumpulan itu turut dianggotai oleh doktor, ahli politik, wartawan dan aktivis dari beberapa negara.
Kejadian pintasan itu berlaku tidak lama selepas satu kejadian berasingan pada awal bulan ini, di mana tentera Israel seccara biadab menahan 23 rakyat Malaysia daripada ‘Global Sumud Flotilla’ di perairan antarabangsa.
Kesemua mereka kemudiannya ditahan di sebuah penjara Israel, dihantar pulang melalui Turki, dan telah selamat kembali ke tanah air malam tadi.
Menurut Gabungan Freedom Flotilla (FFC), tentera Israel telah menyerang konvoi bot berkenaan yang sedang belayar menuju ke Gaza dan memintas beberapa buah kapal.
FFC berkata, sebelum memintas, tentera Israel telah menyerang kapal ‘The Conscience’, yang membawa 93 orang terdiri daripada wartawan, doktor, dan aktivis, sebelum bertindak menyerang dan memintas tiga buah bot lebih kecil.
FFC menambah bahawa kesemua peserta ditahan dalam keadaan yang tidak diketahui.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Turkiye mengesahkan bahawa warganegara dan ahli parlimennya adalah antara yang berada di atas flotila tersebut.
Kementerian itu mengutuk tindakan Israel, dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius undang-undang antarabangsa” dan “satu tindakan lanun.”
Aktivis dari Ireland, Perancis, dan Denmark, antara warganegara lain, juga dilaporkan berada di dalam flotila itu.
FFC, sebuah rangkaian antarabangsa kumpulan pro-Palestin, mengulangi bahawa bot-bot tersebut membawa “bantuan penting” bernilai lebih $110,000, termasuk ubat-ubatan, peralatan bantuan pernafasan, dan bekalan nutrisi untuk hospital-hospital di Gaza.
Dalam satu hantaran di media sosial, organisasi itu menegaskan bahawa tentera Israel tidak mempunyai kuasa undang-undang di perairan antarabangsa dan bertegas bahawa flotila mereka tidak mendatangkan sebarang ancaman.
– BTSMedia.my