BTS Media

Mangsa Ah Long dakwa pegawai polis tawar rasuah, beri layanan memalukan

SEORANG lelaki berusia 40-an mendakwa seorang pegawai polis telah menawarkannya rasuah sebanyak RM500 untuk menarik balik laporan yang dibuatnya terhadap sindiket pemberi pinjaman wang haram atau “Ah Long”.

Menurut NST, mangsa, yang mahu identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan, turut mendakwa menerima layanan tidak sepatutnya dan memalukan daripada pegawai yang sama ketika hadir untuk memberi keterangan.

Lelaki itu berkata, pengalaman itu bermula selepas dia membuat laporan polis pada jari Rabu lalu selepas menerima ugutan daripada Ah Long tersebut.

Dia kemudiannya dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) pada 1 Oktober untuk direkodkan keterangan.

“Apabila saya tiba di pejabat penolong pegawai penyiasat (AIO), saya tidak dipelawa duduk walaupun ada dua kerusi kosong. Selepas lama berdiri, akhirnya saya duduk di atas lantai dan pegawai itu kemudian mengarahkan saya menulis keterangan di atas lantai,” dakwa lelaki itu.

Dia meluahkan rasa amat kecewa dan berkata bahawa dia yang pada mulanya meminta perlindungan daripada pihak berkuasa, akhirnya merasa diri menjadi mangsa kepada kedua-dua penjenayah serta sistem yang sepatutnya melindunginya.

Kes tersebut telah menarik perhatian Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, mengesahkan pihaknya telah berhubung dengan mangsa sebelum laporan polis dibuat lagi.

Hishamuddin berkata, beliau telah pun menghubungi ketua polis daerah berkenaan untuk memaklumkan mengenai dakwaan serius itu.

“Kami menggesa agar kes ini bukan sahaja disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, tetapi laporan itu sendiri diterima, disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” kata Hishamuddin dalam satu kenyataan.

Beliau menekankan perlunya dijalankan siasatan yang adil dan telus bagi memastikan kepentingan awam dilindungi serta integriti pasukan polis terpelihara.

  – BTSmedia.my

 

Leave a Comment