Oleh Fetty Rara
KARTEL penjenayah mungkin boleh wujud dalam pasukan polis jika pegawai berpangkat tinggi terbabit rasuah, kata Tan Sri Musa Hassan.
Bekas ketua polis negara itu berkata bahawa ahli kongsi gelap yang ingin “membeli” pegawai polis biasanya akan menghantar orang tengah terlebih dahulu untuk membuat perjanjian.
Beliau berkata individu tersebut akan mendekati mereka untuk dibawa berunding.
Menurut beliau, jika orang tengah itu tidak dilayan perkara itu tidak akan ke mana, dan juga sebaliknya.
Musa berkata demikian pada Program Kompas Rasuah Busters bertajuk “Hukuman Rasuah Masih Ringan” yang disiarkan melalui portal Sinar Harian pada Rabu (13 Julai).
Beliau menambah jika pegawai berpangkat tinggi tunduk kepada rasuah, mereka akan mempengaruhi yang lain dan kemudian akan wujud kartel ini.
Bagaimana pun, tidak ada kartel dalam kalangan penjawat awam kerana kartel itu berada di luar, tetapi apabila penjawat awam berkompromi dan mengikut kehendak sindiket luar maka akan ada kartel, di mana dia akan menempatkan pegawai di situ supaya tidak ada tindakan diambil ke atas sindiket.
Mengulas lanjut mengenai hukuman terhadap penjawat awam yang menerima rasuah, Musa menyarankan agar hukuman dilaksanakan bagi memalukan pesalah.
Beliau menyarankan supaya dilaksanakan hukuman yang mengaibkan pesalah, contohnya hukum rotan, hukuman sebat awam supaya mereka takut menerima rasuah.
Musa menambah, selain rotan, harta mereka yang didapati bersalah hendaklah dirampas.
Selalunya anggota penguat kuasa ini terdedah kepada pelbagai godaan.
Beliau mengambil contoh penguat kuasa yang perlu wang akan mendapat wang, hiburan, perempuan, dan apa sahaja yang dia inginkan, bergantung pada pilihan masing-masing.
Musa berkata, ketika menjadi Ketua Polis Negara, beliau bertekad membasmi rasuah dalam pasukan polis dengan memperkenalkan penggunaan lencana “saya anti-rasuah” sebelum menukarnya kepada slogan “integriti amalan kita” yang kekal sehingga kini.
-BTS Media