EROPAH dan Asia berpotensi memanfaatkan strategi “America First” (Amerika Dahulu) Presiden Donald Trump, yang boleh membawa kepada pembentukan blok mata wang serantau yang akan mencabar dominasi dolar AS.
Menurut satu analisis baru-baru ini, dolar Amerika menghadapi kesukaran sejak pengumuman tarif oleh Trump, dan walaupun perjanjian perdagangan AS-EU telah menyebabkan kenaikan jangka pendek, ia mungkin tidak mengubah trend jangka panjang yang mengancam mata wang tersebut.
Penasihat pelaburan Strategi Global di TPW Advisory, yang berpangkalan di NYC, Jay Peloksi berkata analisis menunjukkan bahawa kuasa ekonomi masa depan akan bergantung kepada tenaga yang berpatutan dan cekap untuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
AS semakin ke belakang apabila menarik diri daripada penghasilan tenaga boleh diperbaharui dan sebaliknya terus bergantung pada bahan api fosil, yang boleh menyebabkan kos tenaga menjadi tidak kompetitif pada masa hadapan, terutamanya apabila negara seperti China mendahului dalam teknologi tenaga bersih.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa dasar-dasar Trump, walaupun bertujuan untuk memanfaat keperluan dalam negara, apa yang sebenarnya dilakukan ialah meningkatkan pergantungan AS pada modal asing.
Pejabat Belanjawan Kongres menganggarkan bahawa rang undang-undang belanjawan baru-baru ini akan menambah $3.4 trilion kepada defisit negara bagi dekad akan datang, dan ia berpotensi mengukuhkan peranan AS sebagai pengimport modal terbesar di dunia.
Dengan AS mengalami defisit kembar yang besar, negara itu terus secara ketara memerlukan aliran masuk modal asing. Walau bagaimanapun, modal tersebut mungkin menjadi lebih sukar untuk diperoleh jika Eropah dan Asia mula menyimpan lebih banyak dalam wilayah mereka sendiri.
Sementara itu, Asia telah meningkatkan perdagangan dalaman, apabila China memberi tumpuan kepada pempelbagaian eksport. Trend rantaian bekalan serantau, yang bermula semasa pandemik Covid-19, nampaknya semakin pesat.
Peralihan ini boleh mewujudkan asas untuk blok mata wang serantau di Asia, Eropah, dan Amerika. Gabenor Bank Rakyat China, Pan Gongsheng, berkata minat terhadap Yuan memainkan peranan lebih besar dalam dunia mata wang berbilang kutub.
Dalam dunia blok mata wang, analisis itu menyimpulkan bahawa Eropah dan Asia boleh muncul sebagai pemenang dengan menghakis kedudukan AS sebagai kuasa kewangan. Ia menasihati pelabur supaya memberi tumpuan kepada isyarat jangka panjang ini dam kurangkan perhatian pada turun naik mata wang jangka pendek.
-BTS Media