AWDAH Hathaleen, seorang aktivis dan wartawan Palestin yang terlibat dalam dokumentari pemenang Anugerah Oscar No Other Land, ditembak mati dalam serangan oleh peneroka Yahudi di Bukit Hebron yang terletak antara Israel dan Tebing Barat.
Kejadian ini mencetuskan kecaman meluas terhadap apa yang disifatkan sebagai membenarkan keganasa berterusan terhadap penduduk Palestin oleh peneroka haram Israel.
Video yang dirakam pada hari Isnin menunjukkan seorang peneroka Israel, Yinon Levi, melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk kampung Umm al-Khair.
Menurut Alaa Hathaleen, abang ipar mangsa dan saksi kejadian, Levi mula melepaskan tembakan tanpa henti meskipun diberitahu terdapat kanak-kanak dalam kumpulan yang disasarkan.
Pembunuhan ini berlaku ketika peningkatan keganasan oleh peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di Tebing Barat.
Kejadian ini antara ratusan kejadian serangan melampau puak Yahudi ke atas penduduk Palestin yang tidak didakwa oleh pihak berkuasa, walaupun tindakan Israel merampas tanah penduduk Palestin adalah salah di bawah undang-undang antarabangsa.
Menurut saksi, kejadian bermula apabila peneroka haram Yahudi menggunakan jentolak untuk memusnahkan tanah kediaman penduduk Palestin.
Apabila seorang penduduk Arab cuba menyekat jentolak tersebut, dia dirempuh dengan kejam.
Penduduk kemudian membaling batu, dan kemudian Levi muncul, lalu melepaskan tembakan ke arah Awdah Hathaleen, yang berdiri jauh dari lokasi kejadian.
Tentera Israel pula kemudian menyerbu khemah berkabung penduduk Palestin, mengusir orang ramai, menahan dua aktivis, dan melontar bom tangan ke arah wartawan, sambil mengisytiharkan kawasan itu zon tentera tertutup.
Pembunuhan Hathaleen mencetuskan simpati dan kecaman antarabangsa, dan gesaan supaya Israel supaya bertindak ke atas Levi.
Hathaleen, seorang bapa kepada tiga anak, pernah berusaha menghalang kemusnahan rumah di Masafer Yatta, subjek dokumentari filem yang memenangi Oscar. Pengarah bersama No Other Land, Basel Adra berkata bahawa Hathaleen dibunuh oleh peluru peneroka Yahudi.
-BTS Media