BTS Media

Kemudaratan pada alam sekitar dan penerokaan sungai demi pelancongan rakus

KESAN negatif operasi perniagaan berpaksi eko-pelancongan terhadap alam sekitar kini semakin serius dan meluas.

Sungai, secara semula jadi dan di bawah undang-undang, dianggap sebagai amanah awam dan tidak boleh dimiliki atau dimonopoli oleh mana-mana individu atau perniagaan swasta.

Ia adalah sumber semula jadi penting milik semua, dan bertujuan untuk manfaat awam.

Namun, apa yang dipromosikan sebagai percutian “ketenangan” desa kini membawa kesan yang memudaratkan, seperti pembuangan minyak terpakai, sampah, air basuhan tidak terawat ke dalam sungai.

Ini bukan sahaja menjejaskan kualiti air tetapi juga membahayakan kehidupan akuatik dan mengganggu ekosistem dasar sungai yang sangat sensitif.

Akhbar The Star melaporkan bahawa di Kampung Kemensah, Ulu Klang sebagai contoh, ketua kampung, Zohari Ahmad, mengimbas kembali zaman ketika Sungai Kemensah sangat bersih sehingga penduduk kampung boleh minum terus dari sumber itu.

Kini, disebabkan percambahan perniagaan, termasuk ‘homestay’ berhampiran sungai, yang mempromosikan aktiviti riadah di sungai, air tidak lagi selamat untuk diminum atau digunakan untuk mencuci.

The Star memetik Ismail Ahmad,68, yang  mengulangi sentimen ini, mengimbau semasa sungai dilihat sebagai “talian hayat” dan “penggalak tenaga” kampung pada zaman kanak-kanaknya.

Perbezaan ketara ini dikatakan menyerlahkan kemerosotan pesat yang berlaku apabila aktiviti komersial yang tidak terkawal mengatasi tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar.

Cabaran operasi tidak berlesen dan penguatkuasaan

Peningkatan perniagaan ini, yang kebanyakannya beroperasi tanpa lesen yang sewajarnya, dikatakan menimbulkan cabaran signifikan.

Menurut The Star, di Kampung Kemensah sahaja, sekurang-kurangnya 70 perniagaan tidak berlesen dikenal pasti.

Walaupun usaha ini diakui mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, termasuk belia dan mereka yang mencari pendapatan tambahan, namun kekurangan peraturan dikatakan membawa kepada kerosakan berleluasa alam sekitar.

Amat menyakitkan mata apabila melihat banyak struktur dibina di sepanjang tebing, dan kadangkala paip yang menyalurkan kumbahan terus ke dalam sungai.

Kebanyakan pengunjung pula dikatakan tidak prihatin, menyumbang kepada masalah dengan membuang sampah dan malah mencuci pinggan di dalam air sungai di mana orang lain merendam kaki mereka.

Penguatkuasaan dikatakan agak sukar, kerana kuasa ketua kampung terbatas, dan sering kali  mendapat tentangan daripada pengusaha yang mempersoalkan haknya untuk campur tangan.

Keadaan ini menggariskan keperluan kritikal untuk garis panduan yang ketat dan penguatkuasaan konsisten oleh pihak berkuasa tempatan.

Tanpa peraturan yang kukuh dan kuasa untuk bertindak, daya tarikan semula jadi kawasan berkenaan dikatakan berisiko digantikan oleh “bunyi bising, pencemaran struktur konkrit, dan ketidaktenangan,” seperti yang diluahkan oleh pengunjung dan sesetengah penduduk.

Kehilangan warisan dan keseimbangan alam sekitar

Pengkomersialan berlebihan bukan sahaja mencetuskan kebimbangan terhadap alam sekitar, tetapi juga memberikan ancaman kepada cara hidup dan warisan penduduk asal.

Memang diakui bahawa pembangunan tidak dapat dielakkan, dan rata-rata penduduk tidak menolak kawasan mereka dijadikan aset pelancongan dan seterusnya aktiviti ekonomi, tetapi yang tidak boleh diterima ialah sebarang perniagaan yang mencemarkan sungai.

Seperti yang diluahkan seorang pengunjung, apa yang seharusnya menjadi “pengalaman menikmati alam semula jadi bertukar pula menjadi “taman tema murahan” dengan struktur buatan manusia dan pengabaian terhadap integriti ekologi.

Ketenangan semula jadi sungai, yang suatu ketika dahulu amat mendamaikan, kini terjejas akibat pengkomersialan tidak bertanggungjawab.

Walaupun ada pihak yang mungkin mengagumi semangat keusahawanan pengusaha mendirikan warung makan dan tapak perkhemahan terus di dalam sungai, dengan menggambarkannya sebagai “santapan di desa dengan pemandangan indah” atau “lokasi Instagrammable,” hakikatnya di sebalik penampilan ini ia jauh dari menawan.

Isu ini tidak terhad kepada kawasan tertentu seperti Kampung Kemensah di Selangor; ia difahamkan menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di mana sahaja laluan air semula jadi dieksploitasi untuk keuntungan peribadi.

-BTS Media

Leave a Comment