Oleh Yusoff A. Shariff
JABATAN Alam Sekitar (JAS) semalam (21 Sept) menerima aduan berhubung pelepasan larut resapan (leachate) dari kolam tadahan di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung, Nibong Tebal.
Kejadian itu disedari oleh penduduk berhampiran yang memaklumkan pihak berkuasa.
Siasatan mendapati air berwarna hitam itu mengalir ke kawasan hutan bakau sebelum ke laut.
Pengarah JAS negeri Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata kejadian itu dipercayai mula berlaku beberapa jam sebelum mereka menerima aduan.
Beliau juga berkata beberapa paip telah dipasang oleh pihak tertentu bagi menyalurkan air larut resapan ke kawasan rizab bakau berhampiran.
Pegawai JAS telah mengambil contoh dari beberapa lokasi untuk dianalisis oleh jabatan Kimia. Keterangan juga diambil daripada beberapa saksi.
Sharifah Zakiah berkata satu laporan polis dibuat di balai polis Nibong Tebal, dan berdasarkan maklumat saksi, pelepasan air hitam itu mungkin telah dirancang, memandangkan paip dipasang dan kemudian ditutup setelah kejadian dilaporkan kepada JAS.
Notis amaran akan dikeluarkan terhadap pemilik tapak dan juga pihak berkuasa tempatan supaya meningkatkan pemantauan dan kawalan pencemaran di lokasi tersebut, katanya lagi.
-BTS Media