PARA pakar cuaca berkata bahawa seiring dengan peningkatan pemanasan global, penduduk di Malaysia harus bersedia menghadapi hari-hari lebih panas dan lembap semasa musim kemarau yang dibawa oleh Monsun Barat Daya tahunan.
Mereka berkata sudah tiba masanya orang ramai memberi perhatian bukan sahaja kepada bacaan suhu kering pada termometer biasa, tetapi juga kepada suhu bebuli basah (WBT), yang menurut saintis adalah penting bagi individu yang terdedah kepada strok haba atau penyakit berkaitan.
WBT, jelas mereka, menunjukkan sejauh mana udara dapat disejukkan oleh penyejatan air ke dalamnya dan biasanya diukur menggunakan termometer dengan bebuli yang ditutup membran basah.WBT lebih tinggi menandakan peningkatan risiko bagi individu yang terdedah.
WBT dan kelembapan tinggi adlah faktor yang sering terlepas pandang dalam laporan gelombang haba, walaupun peranan pentingnya kepada impak seseorang mengalami haba.
The Star memetik felo di Akademi Sains Malaysia Dr. Fredolin Tangang, berkata walaupun musim Monsun Barat Daya biasanya dicirikan oleh cuaca panas dan kering, namun pemanasan global boleh menyumbang kepada keadaan lebih panas.
Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian terkini, suku pertama tahun 2025 adalah tahun kedua paling panas berbanding tempoh sama pada tahun 2024, yang merupakan tahun paling panas pernah direkodkan, walaupun La Nina aktif sepanjang suku pertama tahun ini.
Beliau berkata pemantauan oleh Pusat Iklim APEC di Korea Selatan menunjukkan bahawa suhu udara permukaan di rantau Indo-Pasifik adalah 80% di atas normal semasa tempoh monsun semasa tahun ini.
Dr Fredolin juga berkata bahawa suhu permukaan laut (SST) diramalkan berada di atas paras normal.
Menurutnya, ini boleh menyebabkan kelembapan relatif lebih tinggi, yang seterusnya meningkatkan WBT serta indeks haba, dan mewujudkan keadaan sesuai untuk berlaku strok haba.
Fredolin mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan sistem amaran awal kepada orang ramai tentang haba dan kelembapan yang berlebihan.
Beliau menegaskan bahawa lebih banyak pengumuman awam tentang bahaya strok haba dan cara mengelakkannya harus disiarkan secara berkala, dan orang ramai tidak seharusnya memandang ringan keadaan melampau yang meningkatkan risiko strok haba.
Satu kertas kerja tahun 2023 yang diterbitkan oleh penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai kemunculan kawasan bandar sebagai titik panas bagi tekanan haba pada masa hadapan, terutamanya di Semenanjung Malaysia.
Kajian tersebut menunjukkan peningkatan ketara dalam suhu purata di Semenanjung melebihi purata global, yang boleh menyebabkan peningkatan besar dalam WBT, terutamanya di kawasan bandar padat.
Menurut klimatologis Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Prof. Dr. Azizan Abu Samah, berdasarkan beberapa model ramalan, terdapat kebarangkalian tinggi rantau ASEAN akan mengalami suhu di atas normal antara bulan Jun dan Ogos.
Beliau berkata tempoh antara monsun biasanya beralih kepada Monsun Barat Daya di rantau ASEAN pada bulan Jun dan akan berterusan sepanjang tempoh tinjauan.
Dr Azizan menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pendedahan mereka kepada cahaya matahari yang terik seberapa banyak yang mungkin.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa punca utama cuaca panas dan lembap semasa adalah Monsun Barat Daya, yang bermula pada 10 Mei dan dijangka berterusan sehingga bulan September.
Beliau berkata monsun ini biasanya membawa cuaca kering ke kebanyakan bahagian negara, walaupun ribut petir dan hujan lebat masih berlaku dari semasa ke semasa.
Mohd Hisham juga berkata bahawa ketiadaan hujan berpanjangan selama beberapa hari boleh mengakibatkan keadaan panas terik serupa dengan apa yang berlaku awal bulan ini.
Beliau berkata bahawa pada 2 Jun, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran haba Tahap 1 di enam kawasan di Semenanjung yang mengalami suhu harian maksimum antara 35°C dan 37°C selama tiga hari berturut-turut.
-BTS Media