SEBUAH kereta Toyota Vios mengalami kerosakan teruk selepas diserang gajah liar di Kilometer 11 Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) antara Jeli dan Gerik malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood, pemandu lelaki berusia 39 tahun itu ternampak sekumpulan gajah melintas jalan lalu segera menghentikan kenderaannya dan memadamkan lampu.
Beliau berkata keadaan menjadi tegang apabila ada kereta membunyikan hon dari belakang, menyebabkan tiga ekor gajah menumpukan perhatian kepada keretanya.
Dalam keadaan panik, pemandu kereta tersebut segera keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri.
Setelah gajah-gajah itu beredar, dia telah membuat laporan di balai polis.
Kejadian mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan, belakang, dan kedua-dua belah kenderaan, namun pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis menasihati pengguna jalan raya di laluan berkenaan supaya lebih berhati-hati dan mengikut garis panduan pihak berkuasa, termasuk tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi apabila berdepan dengan gajah.
Beliau berkata di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli, kehadiran gajah telah meningkat kerana habitat semakin mengecil, hingga memaksa haiwan-haiwan tersebut lebih kerap melintas jalan.
-BTS Media