SPEAKER Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata status kerusi Parlimen Labuan akan diputuskan tidak lama lagi.
Beliau mengesahkan telah menerima surat daripada Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee, berkenaan perkara tersebut.
Menurut Johari, beliau memerlukan masa untuk meneliti isu tersebut, dan keputusan akan dibuat selepas mempertimbangkan semua perkara, termasuk dari segi undang-undang.
Beliau juga mengaku menerima surat daripada parti Bersatu dan telah menulis surat kepada Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.
Johari berkata beliau akan berunding dengan beberapa jabatan kerana beliau belum mempunyai maklumat lengkap.
Keputusan akan dibuat pada masa yang sesuai, katanya semasa sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perundingan Ahli Parlimen Muda Asean Inter-Parliamentary Assembly (YPA) kali ke-2 di Klang, Selangor hari ini.
Sebelum ini, Bersatu telah menghantar surat kepada Johari, menuntut agar kerusi Parlimen Labuan diisytiharkan kosong.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 April membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Suhaili terhadap parti tersebut.
Suhaili, yang memfailkan saman tersebut pada 1 Julai 2024, mendakwa bahawa pada 2 November 2023, lembaga disiplin Bersatu telah mengeluarkan surat memaklumkan beliau tentang pertuduhan di bawah Perkara 22.1(f) perlembagaan parti, berhubung tindakannya menyokong Perdana menteri Anwar Ibrahim.
Suhaili adalah salah seorang daripada enam Ahli Parlimen Bersatu yang keahliannya dibatalkan pada bulan Jun tahun lepas selepas mereka menyatakan sokongan kepada Anwar.
-BTS Media