PAMELA Ling, wanita yang hilang bulan lepas semasa dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai telah diculik oleh individu yang memakai pakaian seragam polis.
Peguamnya, N. Sivananthan, berkata dia telah melihat laporan polis difailkan oleh pemandu Grab yang membawa Ling pada waktu itu, lapor Malaysiakini.
Berdasarkan laporan polis tersebut, pemandu Grab itu berkata keretanya telah dihalang ketika mereka hampir tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Dia berkata, mereka telah melintasi Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, yang terletak bersebelahan dengan ibu pejabat SPRM, apabila tiga kereta, dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih menghalang dan memaksanya berhenti.
Menurutnya, dua individu – seorang lelaki memakai vest polis dan seorang wanita memakai pakaian seragam polis – kemudian mengarahkan Pamela supaya ikut mereka.
Individu yang disyaki menculik itu turut mengambil MyKad pemandu Grab sebelum beredar bersama Ling. Pemandu Grab itu kemudian membuat laporan polis di balai polis Presint 7.
Malaysiakini melaporkam bahawa Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut, tetapi berkata tindakan sedang diambil berhubung kes itu.
Difahamkan bahawa Ling dikatakan hilang pada 9 April semasa dalam perjalanan untuk bertemu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan semalam, SPRM mengesahkan bahawa Ling dipanggil untuk pergi ke ibu pejabatnya pada 9 April tetapi gagal hadir, dan peguamnya telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
SPRM berkata bahawa tanggungjawab untuk mengesan Ling kini terletak pada pihak polis.
-BTS Media