BTS Media

‘Kemerdekaan Kamu Adalah Malapetaka Kami’: Penduduk Palestin kenang pengusiran pada hari ‘kemerdekaan’ Israel

LEBIH 300 penduduk Arab Israel pada hari Khamis berkumpul di tapak sebuah kampung penduduk Palestin untuk memperingati apa yang oleh rakyat Palestin disebut sebagai “Nakba”, atau malapetaka.

“Nakba” dikenangkan oleh penduduk Palestin apabila mereka dihalau oleh puak Zionis ketika Israel mengisytiharkan ‘kemerdekaan’ selepas perang tahun 1948.

Ketika Israel merayakan Hari Kemerdekaannya pada hari Khamis bersamaan perayaan Yahudi, Yom Ha’atzmaut, penduduk Arab itu, yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak, berarak sambil melaungkan, “Kemerdekaan kamu adalah Nakba kami”.

Lokasi itu dahulunya adalah kampung Al-Lajjun yang pernah menjadi kampung asal ribuan penduduk keturunan Palestin. Ia kini dirampas komuniti petani Yahudi, dan dinamakan Kibbutz Megiddo.

Upcara peringatan tahun ini berlangsung ketika perang di Gaza masih berterusan antara Israel dan pejuang Hamas. Ia telah mennyebabkan hampir semua 2.4 juta penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal.

Berpakaian serban dan berselendang keffiyeh, para peserta perarakan menyanyikan lagu kebangsaan Palestin dan berkongsi kenangan kehilangan kampung warisan mereka dan tentang ketahanan diri berjuang untuk kebebasan daripada penaklukan Israel.

Seorang bekas penduduk, Ziyad Mahajneh, 82, menceritakan kepada AFP bagaimana dia melarikan diri dari kampung itu ketika masih kanak-kanak pada tahun 1948.

Mereka “menyerang kampung kami dengan meriam dan mesingan,” kata Mahajneh.

Dia tercicir ketika melarikan diri bersama keluarganya, tetapi seorang jiran telah membantunya untuk kembali bersama keluarganya di bandar Umm al-Fahm, yang kini juga merupakan sebahagian daripada Israel.

“Hari ini, kami dilarang berada di sini. Mereka bertanya kepada kami, ‘Apa kamu buat di sini’?”

“Tanah Al-Lajjun kini telah menjadi kibbutzim.”

Semasa perang tahun1948, lebih 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka.

Keturunan 160,000 rakyat Palestin yang berjaya kekal di wilayah yang kini dijajah oleh  Israel itu kini merupakan kira-kira 20 peratus daripada penduduk asal.

Ramai warga Arab Israel hari ini masih mempunyai hubungan yang mendalam dengan tanah milik mereka itu.

Ironinya, selama lebih dua dekad, penduduk Arab Israel setiap tahun turut memperingati Hari ‘Kemerdekaan’ Israel, tetapi dalam bentuk perarakan pulang yang menjadi simbol pertalian mantap dengan kampung halaman.

Bagaimanapun, tahun ini, penganjur berkata sekatan ketat oleh pihak berkuasa Israel — termasuk had kehadiran dan larangan membawa dan mengibarkan bendera Palestin – telah memaksa mereka membatalkan perarakan besar-besaran, dan hanya mengadakan demonstrasi yang lebih kecil.

“Mereka menghalang daripada memperingati kewujudan kampung kami,” kata Faisal Mahajneh, seorang lagi penduduk Al-Lajjun dihalau dari situ.

“Kami adalah pemilik tanah ini, dan kami tidak akan berputus asa untuk kembali”, kata Ziyad.

-BTS Media

Leave a Comment