BTS Media

Kumpulan samseng: Ancaman kecil tapi jangan diabaikan 

BERBEZA dengan apa yang digambarkan dalam filem The Godfather, di Malaysia tidak ada  Mafia. 

Bagaimana pun, di sebaliknya di negara ini, wujud sindiket kongsi gelap dan kumpulan samseng yang dikatakan “menguasai” kawasan-kawasan tertentu. 

Kumpulan jenayah ditakrifkan dalam tiga kategori mengikut Akta Pertubuhan – triad, kongsi gelap, dan kumpulan samseng.  

Triad digambarkan sebagai kumpulan jenayah besar dengan struktur terancang seperti mafia di barat atau yakuza di Jepun.  

Anggota triad bergerak secara rahsia, secara sistematik, dan aktiviti mereka termasuk pengubahan wang haram dan jenayah antarabangsa. 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Timbalan Komisioner  Fadil Marsus, berkata kumpulan seperti itu tidak terdapat di Malaysia, lapor The Star. 

Berkenaan kongsi gelap, beliau menjelaskan bahawa kumpulan-kumpulan tersebut dianggotai sehingga 300 orang, tetapi tidak mempunyai struktur terancang.  

Beliau berkata kumpulan kongsi gelap diwarisi turun-temurun, dan melibatkan pelbagai kaum. 

Menurut Fadil, antara yang telah dikenal pasti ialah Geng 360, 24, 08, 36, dan 77, yang bergerak secara rahsia tetapi tidak sama triad.  

Ahli kongsi gelap berhubungan menggunakan kod, logo, dan mempunyai ritual , seperti bersumpah untuk menjadi ahli seumur hidup.  

Beliau berkata, kumpulan-kumpulan itu mempunyai hierarki mereka sendiri, bermula di peringkat teratas di mana ketua membuat segala keputusan. 

Semua ahli bawahan wajib mematuhi setiap  arahan yang diberikan oleh ketua.  

Kepimpinan tertinggi  diberikan gelaran seperti Tok Ayah, Ayahanda, Abang Long, dan Abang Kawasan, bergantung pada kawasan masing-masing. 

Fadil berkata “kumpulan samseng” di Malaysia merujuk kepada kumpulan kecil yang bergerak  di kawasan luar bandar.  

Mereka tidak mempunyai nama tetap, dan sebaliknya, nama ketua digunakan sebagai nama kumpulan. Mereka juga tidak mempunyai upacara mengangkat sumpah.  

Fadil berkata kumpulan samseng ini tidak menimbulkan ancaman keselamatan yang signifikan, tetapi pihak polis tetap memantau mereka.  

Penjenayah kecil-kecilan ini kebanyakannya terlibat dalam jenayah seperti pengedaran dadah skala kecil.  

The Star pada hari Sabtu melaporkan bahawa Bukit Aman sedang berusaha untuk mengetatkan undang-undang bagi menangani peningkatan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan samseng di Malaysia.  

-BTS Media 

Leave a Comment