BTS Media

Sekatan Filem AS sebagai amaran China kepada Washington

DALAM kancah “perang perdagangan” yang semakin tegang dengan Amerika Syarikat, berikutan tindakan melampau Presiden Donald Trump menaikkan tarif, China tidak mengehadkan tindak balasnya kepada barangan material semata-mata.

Hari ini, dilaporkan bahawa China juga menyasarkan industri perfileman AS, dengan cara mengurangkan kemasukan dan tontonan dari pasaran  filem kedua paling penting di dunia itu.

Pihak Pentadbiran Filem Nasional China (NFA) mengumumkan di laman webnya bahawa mereka akan mematuhi prinsip pasaran, menghormati pilihan penonton, dan melaksanakan pengurangan “secara sederhana” kemasukan jumlah filem AS ke negara itu.

Awal minggu itu, dua blogger China yang berpengaruh berkata bahawa pihak berkuasa tempatan sedang mempertimbangkan kemungkinan dikenakan sekatan penuh terhadap filem dari AS.

Susulan itu, Reuters melaporkan bahawa keputusan NFA untuk mengambil pendekatan yang kurang agresif kemungkinan bermakna kesan kewangan langsung terhadap Hollywood akan terhad.

Bagaimanapun, lebih utama ia dilihat sebagai petunjuk jelas tentang agenda China untuk menyasarkan pengaruh budaya Amerika sebagai cara membalas dendam terhadap keangkuhan Trump.

Ketika kedua-dua negara kuasa dunia itu sibuk saling membalas tindakan permusuhan ekonomi masing-masing, di pihak China ia memberi isyarat jelas bahawa China tidak teragak-agak untuk menyekat langsung semua filem dari AS, berdasarkan keyakinan mantap bahawa sekatan itu tidak akan menjejaskan ekonomi, mahu pun industri filem China.

Perlu diingat bahawa AS dan China berada dalam liga mereka sendiri dalam industri filem.

Menurut Gower Street Analytics, penonton wayang di AS membelanjakan kira-kira $9.1 bilion (RM40.7bil) pada tahun 2023, dengan menyumbang 27 peratus daripada jumlah kutipan tiket global pada tahun itu.

Sebagai perbandingan, kutipan tiket wayang China mencapai $7.7 bilion (RM34.4bil), iaitu 23 peratus daripada pasaran seluruh dunia dan melebihi Jepun, di tempat ketiga, sebanyak lebih $6 bilion (RM26.8 bilion).

Ini mengingatkan bahawa pada sebahagian besar abad ke-20, pasaran filem China tidak begitu aktif. Walau bagaimanapun, ia mengalami perkembangan dramatik sepanjang tahun 2010-an, dengan pertumbuhan daripada kurang daripada $1bilion (RM5 bilion) pada tahun 2011 kepada lebih $9 bilion (RM40.2 bilion) pada tahun 2019.

Filem Hollywood memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini, dengan studio AS menarik minat penduduk China untuk menjana pendapatan besar daripada filem-filem blockbuster utama mereka.

Filem Avengers: Endgame, yang dikeluarkan pada tahun 2019, dilaporkan meraih $632 juta (RM2.8 bilion) di China, untuk muncul sebagai filem kedua tertinggi dari segi kutipan dalam sejarah.

Studio AS biasanya hanya menerima kira-kira 25 peratus daripada hasil kutipan filem mereka di pawagam China, tetapi ini masih merupakan keuntungan kewangan besar bagi Hollywood, memandangkan potensi pendapatan keseluruhan yang tinggi.

Filem domestik China kini menyumbang kira-kira 80 peratus daripada kutipan tiket tahunan, iaitu peningkatan daripada kira-kira 60 peratus sebelum tahun 2020.

Pendapatan luar biasa industri perfileman tempatan China dicontohkan awal tahun ini dengan pelancaran Ne Zha 2, sebuah filem animasi yang meraih hampir $1.9 bilion (RM40.7 bilion) sejak dikeluarkan pada akhir bulan Januari.

Ini menjadikannya filem animasi tertinggi dari segi kutipan yang pernah diperoleh mana-mana negara, selain meletakkannya di tempat kelapan dalam senarai kutipan tiket sepanjang masa.

Apa pun, memang diakui bahawa China kekal sebagai pasaran penting bagi Hollywood.

Lima filem Amerika dilaporkan memperoleh sekurang-kurangnya $50 juta (RM223.5 juta) di sana pada tahun sebelumnya, dengan Godzilla x Kong: The New Empire mendahului dengan $132 juta.

Penonton China juga dilaporkan membelanjakan $14.5 juta (RM64.8 juta) untuk menonton A Minecraft Movie pada hujung minggu pembukaannya.

Berdasarkan keadaan ini, pemerhati industri pro-Amerika berpendapat bahawa ia tidak akan menjadi tamparan maut bagi studio AS, tetapi akan menyaksikan kemerosotan bagi industri yang masih mengalami penurunan pendapatan tahunan berbilion dolar berbanding sebelum COVID-19.

Penulis buku mengenai hubungan Hollywood – China, Chris Fenton memberitahu Reuters bahawa hukuman berprofil tinggi terhadap Hollywood mencerminkan kekuatan dan tindakan tegas oleh Beijing, yang pasti membimbangkan Washington, justeru menggariskan niat China untuk membalas dendam.

-BTS Media

Leave a Comment