GAMBAR: Wikimedia Commons.
PERKHIDMATAN Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengalami gangguan untuk hari kedua berturut-turut selepas pihak yang tidak bertanggungjawab memotong kabel perkhidmatan tren itu.
Menurut ERL, perkhidmatan ulang-alik antara stesen Putrajaya, Cyberjaya, dan KL Sentral telah disambung semula pada pukul 6 pagi, dengan kekerapan setiap 20 minit.
Sementara itu, perkhidmatan ulang-alik antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 serta 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula pada pukul 6.20 pagi, juga beroperasi selang 20 minit.
Penumpang dinasihatkan supaya mendapatkan pengangkutan alternatif dan merancang perjalanan mereka sewajarnya.
Dalam satu kenyataan yang dipetik daripada X hari ini, pihak ERL berkata kejadian vandalisme kabel berlaku lagi, hingga menjejaskan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
Disebabkan masalah teknikal tersebut, semua perkhidmatan tren digantung buat sementara waktu. Penumpang dinasihatkan supaya mengajukan sebarang pertanyaan di kaunter tiket atau memeriksa status perkhidmatan di platform X ERL.
Pada 8 April, ERL mengesahkan berlakunya kes vandalisme di KM48.5, antara stesen Salak Tinggi dan KLIA Terminal 1, di mana kabel telah dipotong pada pukul 6.20 pagi.
Susulan itu, perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah digabungkan, dengan perjalanan pada pukul 6.58 pagi dari KLIA Terminal 2 dan pukul 7 pagi dari KL Sentral.
Perkhidmatan tren disambung semula semalam pada pukul 10 pagi dari KL Sentral dan pukul 9.48 pagi dari KLIA Terminal 2.
Dalam kemas kini awal pagi ini, ERL memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan sistem isyarat masih sedang dijalankan.
-BTS Media