GAMBAR: Dilesenkan di bawah Wikimedia Commons.
BEKAS Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada pagi hari Selasa atas arahan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Waran tangkap itu berkaitan dengan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang melibatkan pembunuhan besar-besaran dalam perang terhadap gejala dadah dan sindiket penjenayah dadah” yang dilancarkan semasa pemerintahannya.
Menurut kenyataan rasmi dari Pejabat Presiden Ferdinand Marcos Jr., Interpol Manila menerima salinan rasmi waran tangkap daripada ICC awal pagi tadi.
Duterte, yang berusia 79 tahun, kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.
Duterte menghadapi tuduhan “jenayah terhadap kemanusiaan melalui pembunuhan” yang dikaitkan dengan tindakan kerasnya terhadap sindiket dadah.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, puluhan ribu orang, kebanyakannya lelaki, dibunuh atas dakwaan terlibat dengan dadah.
Bekas penasihat undang-undang Duterte, Salvador Panelo, menyifatkan penahanan ini sebagai “tidak sah”.
Penyiasat ICC adalah anak-anak pelacur – Duterte
Beliau mendakwa bahawa peguam Duterte tidak dibenarkan bertemu dengannya di lapangan terbang untuk mempertikaikan asas undang-undang penahanan tersebut.
Namun, kumpulan hak asasi seperti Human Rights Watch dan Rise Up for Life and for Rights menyambut baik perkembangan ini.
Penyelaras Rise Up, Rubilyn Litao, berkata bahawa keluarga mangsa telah lama menantikan keadilan.
Walaupun Filipina menarik diri daripada Statut Rom pada 2019 atas arahan Duterte, ICC menegaskan bahawa mereka masih mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat pembunuhan yang berlaku sebelum penarikan itu.
Siasatan rasmi dilancarkan pada bulan September 2021 tetapi ditangguhkan dua bulan kemudian atas permintaan kerajaan Filipina.
Bagaimanapun, siasatan diteruskan pada Julai 2023 selepas bantahan Filipina ditolak oleh panel hakim ICC.
Duterte, yang masih popular dalam kalangan rakyat Filipina kerana pendekatan tegasnya terhadap jenayah, baru sahaja kembali dari Hong Kong sebelum ditahan.
Semasa di Hong Kong, beliau menyatakan kesediaannya untuk ditangkap tetapi terus mengecam  ICC.
Penahanan beliau berlaku ketika Duterte sedang merancang untuk bertanding semula sebagai Datuk Bandar Davao dalam pilihan raya separuh penggal bulan Mei ini.
Walaupun beberapa kes tempatan telah difailkan terhadap operasi dadah yang membawa kepada kematian, hanya segelintir pegawai polis disabitkan kesalahan.
Penahanan Duterte dianggap oleh pihak yang membantah sebagai langkah penting dalam usaha menegakkan kebertanggungjawaban terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Filipina. Namun, isu ini dijangka terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat dan komuniti antarabangsa.
-BTS Media