BTS Media

Terlalu banyak sayur-sayuran paksa petani buang berpuluh tan hasil tanaman

PETANI di seluruh negara terpaksa membuang sejumlah besar sayur-sayuran akibat lambakan bekalan dan penurunan permintaan pasaran sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun keadaan cuaca baik dan hasil tuaian memberangsangkan, para petani menyalahkan lambakan sayur-sayuran import yang menyebabkan penurunan permintaan sayur-sayuran tempatan.

Menurut The Star, seorang pembekal sayur-sayuran dari Cameron Highlands, mendedahkan bahawa sayur-sayuran hijau menyumbang kira-kira 90 peratus daripada hasil yang dibuang, antaranya salad hijau, sawi, dan siew pak choy.

Dia berkata permintaan sayur-sayuran biasanya menurun semasa Ramadan, kerana pengguna cenderung mengurangkan pengambilan sayur-sayuran.

Petani itu juga menyatakan bahawa persaingan daripada sayur-sayuran import telah memburukkan lagi cabaran yang dihadapi oleh pengeluar tempatan.

Menurutnya, sayur-sayuran dari negara seperti China, Thailand, dan Vietnam diimport tanpa kawalan yang mencukupi, justeru menyebabkan lambakan hasil tempatan.

Dia menggesa kerajaan supaya campur tangan bagi mengelakkan pembaziran sayur-sayuran tempatan berterusan dengan melaksanakan kawalan yang lebih ketat terhadap import.

Baginya, pemantauan import elok dipertingkat untuk mengurangkan lambakan pasaran tempatan dengan hasil luar negara.

Seorang petani dari Padang Terap, Kedah berkata dia baru-baru ini terpaksa membuang kira-kira dua tan timun akibat lambakan bekalan.

Alasannya, akibat penurunan mendadak harga timun, daripada RM1 sekilogram kepada serendah 40 sen.

Dia mencadangkan agar pihak berkuasa membeli lebihan hasil untuk mengurangkan pembaziran hasil tempatan, selain menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membeli hasil tersebut untuk diedarkan ke sekolah berasrama atau hospital.

Petani yang menetap di Kampung Masjid Lama Naka itu menambah bahawa dia juga menanam cili, terung, dan bendi.

Presiden Persekutuan Persatuan Petani Sayur-sayuran Lim Ser Kwee, berkata sehingga 10 tan sayur-sayuran dibuang setiap hari dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat penurunan permintaan.

Dia berkata hasil tinggi serta keadaan cuaca semasa yang baik, menyebabkan peningkatan kadar pengeluaran  dua kali ganda daripada kira-kira tiga tan seekar kepada enam tan.

Lim berkata persatuan itu berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membincangkan kepada isu tersebut.

Menekankan keperluan campur tangan kerajaan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh petani, dia memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera boleh menyebabkan penurunan penanaman sayur-sayuran pada masa akan datang akibat kerugian.

-BTS Media

Leave a Comment