MEREKA semakin berani menanam sayur-sayuran hingga menjalan operasi pengedaran dan runcit.
Ramai warga asing kini menjadi “tauke sayur”, dengan menanam tanaman secara haram di di seluruh negara.
Ladang haram ini kebanyakannya menanam sayur-sayuran akar dan sayur-sayuran berdaun.
Selain daun bawang, kacang buncis dan zucchini, warga asing juga menanam ubi kayu dan nanas secara besar-besaran.
Amalan ini didedahkan oleh presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran Lim Ser Kwee.
Akhbar The Star memetik beliau berkata ladang haram sentiasa ada tetapi menjadi-jadi sejak lima tahun lalu, selepas pandemik Covid-19.
“Ladang haram terdapat di setiap negeri termasuk di Johor, tetapi lebih pesat di Cameron Highlands.
“Mereka sama ada menumpang kawasan ladang rakyat atau menyewa tanah daripada penduduk tempatan untuk menanam sayur-sayuran.
“Malah ada yang berani melangkah ke peringkat seterusnya dengan menawarkan perkhidmatan sehenti, termasuk menanam, membekal dan menjual hasil di gerai dan premis mereka sendiri di pelbagai tempat di negara ini,” katanya lagi kepada The Star.
Beliau berkata, terdapat banyak aduan daripada petani tempatan mengenai warga asing yang mendapatkan benih, baja dan racun perosak dari ladang tempatan dan sumber lain.
“Hasil mereka kemudiannya dibekalkan ke pasar basah utama seperti Pasar Selayang Selangor dan pasar borong di Johor.
“Hasil mereka dibeli oleh pengguna yang mungkin tidak mengetahui tentang sumber sayur-sayuran itu,” katanya.
“Berdasarkan aduan yang diterima, warga asing yang didapati terlibat dalam aktiviti pertanian haram ini termasuk dari Indonesia, Pakistan dan Bangladesh,” kata Lim.
“Kami telah mengetengahkan isu ini melalui surat dan memorandum kepada Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, dan berharap tindakan diambil untuk membanteras pertanian haram kerana ia juga merupakan ancaman kepada petani berlesen,” katanya.
Terdapat kira-kira 6,000 petani berdaftar di seluruh negara.
Lim berkata amalan sedemikian berisiko kerana ladang haram itu tidak tertakluk kepada piawaian dan pemantauan kementerian.
“Oleh sebab mereka juga tidak mendapat pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), jadi tidak dapat dipastikan berapa banyak racun perosak yang digunakan pada tanaman.
“Kami tidak menggalakkan penjual sayur-sayuran mendapatkan sumber daripada petani asing kerana bimbang kesan jangka panjang terhadap orang ramai kerana kandungan racun perosak yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, timbalan presiden Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands Lau Weng Soow berkata sebahagian daripada warga asing ini menyewa sebidang tanah dengan harga serendah RM3,000 seekar setiap bulan.
“Ada di antara pemilik yang juga petani, tetapi disebabkan sudah tua dan tidak mempunyai sesiapa untuk mewariskan ladang kerana anak-anak tidak berminat untuk bertani,” tambahnya.
“Jadi, tanah diberikan kepada warga asing dan mereka hanya mengutip sewa bulanan untuk membiayai persaraan.”
“Banyak ladang sebegini terdapat di Cameron Highlands.
“Ia menjejaskan kehidupan petani tempatan, yang terpaksa membayar cukai, kos operasi yang tinggi dan mematuhi piawaian ketat kementerian.
“Ladang haram beroperasi pada kos rendah kerana mereka bebas menggunakan racun perosak gred rendah, yang jauh lebih murah tanpa mempedulikan kesan bahan kimia tersebut terhadap sayur-sayuran dan alam sekitar,” katanya.
Satu lagi masalah ialah kerana ladang haram mewujudkan pasaran tidak sihat, kata Lau.
Jelasnya, kerana kos operasi yang rendah, petani haram dapat mengagihkan hasil mereka dengan harga rendah.
“Ini merosakkan pasaran bagi petani tempatan kerana kami tidak mampu bersaing dari segi harga.
“Lambat laun, petani tempatan tidak akan dapat mengekalkan (operasi) atau bertahan lama.
“Lagi pun petani haram tidak perlu memikul tanggungjawab seperti petani tempatan.
“Jika usaha mereka tidak berjaya, mereka boleh berpindah ke tempat lain dengan mudah tanpa perlu berdepan dengan pelbagai kesan yang dihadapi oleh petani berlesen,” tambah Lau.
-BTS Media