BTS Media

Warga asing kini buka perniagaan pinjaman wang haram

BELUM pun lagi isu sindiket pinjaman wang tidak berlesen oleh warga tempatan berjaya ditangani sepenuhnya, kini muncul pula ancaman warga asing membuka operasi pinjaman wang haram.

Dengan tumpuan kepada individu senegara mereka dan mengenakan kadar faedah tinggi, pemberi pinjaman asing dikatakan menggunakan taktik kejam, termasuk ugutan dan paksaan terhadap penghutang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Pesuruhjaya Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis sedang memantau rapi perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas.

Sementara itu, akhbar The Star memetik pakar kriminologi Datuk Dr P. Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia menggesa dikenakan hukuman lebih berat, seperti pengusiran pesalah asing yang terlibat dalam peminjaman wang haram, di samping tindakan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Beliau menegaskan bahawa di bawah Akta itu, pesalah boleh berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau merujuk kepada kes enam warga Bangladesh yang masing-masing didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan pinjaman wang haram dua minggu lalu.

Menurut Sundramoorthy, tahap penguatkuasaan terhadap perkara ini memberi isyarat bahawa ia bukan penghalang apabila pelakunya warga asing.

“Ini berpotensi menyumbang kepada persekitaran di mana sindiket pinjaman wang haram yang dikendalikan oleh warga asing terus berkembang tanpa rasa takut terhadap hukuman sedia ada.

“Namun begitu, keputusan mahkamah harus dihormati kerana ia mengambil kira keterangan yang dikemukakan dan pertimbangan keadaan sesuatu kes sebelum hukuman dikenakan sewajarnya,” kata Sundramoorthy.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim berkata pihak berkuasa perlu mengambil langkah serius untuk menyekat warga asing yang secara terang-terangan mengabaikan undang-undang dan menyalahgunakan permit kerja mereka.

Beliau berkata selain peruntukan dalam Akta Pemberi Pinjaman Wang, Jabatan Peguam Negara perlu mempertimbang untuk menggunakan undang-undang lain, seperti penyalahgunaan visa kerja atau sosial di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurut Hishamuddin, mereka harus dikenakan tindakan seberat-beratnya supaya trend warga asing menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak berleluasa. Janganlah ditunggu hingga keadaan tidak terkawal.

Sehubungan itu, polis, Jabatan Imigresen dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu bekerjasama rapat untuk membanteras aktiviti ini dalam kalangan warga asing.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Michael Chong berkata undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA) perlu diguna pakai.

“Penjenayah pinjaman wang haram semakin ganas dan licik. Orang suruhan mereka tidak teragak-agak untuk membakar rumah dan kereta dengan bayaran serendah RM400. Bukan mudah untuk mengesan mereka.

“Kita perlu menangani perkara ini dengan lebih serius, dan penggunaan undang-undang pencegahan adalah pendekatan lebih baik daripada sekadar denda kecil atau hukuman penjara yang singkat.

The Star sebelum ini melaporkan bahawa enam warga Bangladesh yang bekerja sebagai tukang kayu di sebuah kilang perabot, menawarkan perkhidmatan pinjaman wang haram ditahan di Muar. Mereka memberi pinjaman antara RM100 dan RM2,000, dengan kadar faedah kira-kira 4% sebulan.

Pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh.

Polis berkata suspek menyimpan kad ATM peminjam dan membuat pengeluaran untuk mendapatkan semula hutang mereka. Wang tunai berjumlah kira-kira RM176,000, telefon bimbit dan 187 kad ATM dirampas.

-BTS Media

Leave a Comment